suria

Skuad B-13 PPBN Menang Semua Aksi Di Jerman, Bina Masa Depan Negara

KUALA LUMPUR: Tatkala ramai peminat bola sepak masih membicarakan tentang nasib skuad negara yang tewas 6-0 kepada Palestin dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018, lain pula yang dirasai oleh kem pasukan Bawah 13 Tahun (B-13) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).

Mereka tidak teruja dengan aksi 'selebriti' negara yang mudah diratah skuad yang tidak mempunyai stadium, sebalik melihat masa depan bola sepak negara dengan lebih fokus disamping terus menimba ilmu.

Seorang daripada jurulatih B-13 PPBN yang baru pulang dalam siri jelajah Eropah di Jerman iaitu Abdul Jalil Md Isa menerima impak positif sejak terlibat dengan PPBN di bawah kendalian Lim Teong Kim.

Abdul Jalil pulang ke tanah air bagi memberi ruang kepada jurulatih lain untuk mengikuti skuad berkenaan yang kini sedang menimba ilmu di Sepanyol dalam kejohanan remaja bersama akademi gergasi negara berkenaan.

"Sepanjang 26 tahun terlibat dengan akademi  akar umbi pembangunan bola sepak, secara peribadinya, PPBN merupakan program yang nampak hala tujunya. Bukan menidakkan kesan program yang diadakan sebelum ini seperti Program Tunas Cemerlang, Program Sukan Teras atau Sukan Prestasi Tinggi, tetapi PPBN ini adalah yang tepat untuk pembangunan bola sepak negara kita.

"Saya sendiri teruja dan lebih berwawasan dengan pendekatan yang dibawa oleh jurulatih Teong Kim. Bukan sahaja nak memuji tetapi ia telah terbukti apabila pemain-pemain B-13 dapat mengharungi rintangan ketika di Jerman," luah Abdul Jalil kepada mStar Online pada Rabu.

Abdul Jalil selaku Ketua Jurulatih Remaja Negeri Perlis (KRN) yang kembali ke Malaysia pada Ahad lalu berkata, tempoh 15 hari berada di Jerman merupakan sesuatu yang amat berguna.

"Ketika di sana, jurulatih Teong Kim selalu memesan kepada semua jurulatih yang menyertai jelajah ini agar mengutip apa sahaja ilmu dan sebarkan kepada jurulatih-jurulatih di negeri masing-masing.

"Beliau (Teong Kim) seorang yang adil kerana memberi peluang kepada jurulatih negeri yang dipilih untuk bersama-sama menyertai jelajah ini. Banyak perkara yang dipelajari termasuk dari segi teknik permainan, taktikal, persiapan sebelum perlawanan dan pelbagai lagi yang dilihat sangat teratur.

"Selepas di Jerman, pasukan B-13 diterbangkan ke Sepanyol dan Portugal yang akan disertai dengan beberapa jurulatih lain. Pemain muda negara kita akan diuji lagi oleh bintang di akademi negara-negara berkenaan.

"“Sepanjang berada di sana, saya sendiri teruja dengan aksi pemain-pemain muda kita yang ternyata sekali mempamerkan tahap keyakinan, disiplin serta mengaplikasikan apa yang diajar dalam setiap perlawanan persahabatan. Buktinya, kesemua sembilan perlawanan kita menang walaupun menerima tentangan sengit daripada kelab-kelab terkemuka di Jerman.

"Mereka langsung tidak menunjukkan rasa takut ketika berdepan dengan pemain-pemain lawan walaupun ada beberapa perlawanan mereka ketinggalan, tetapi pemain-pemain bangkit selepas diberi penjelasan dan teguran oleh Teong Kim.

"Sebab itu pemain-pemain tidak tertekan walaupun ada melakukan kesilapan kerana mereka diajar dengan persediaan psikologi," jelasnya.

Barisan jurulatih remaja negeri-negeri turut menimba ilmu.

Sementara itu, Abdul Jalil,51, mengakui PPBN akan lebih berjaya jika semua pihak berganding bahu memberi sokongan dan apa yang penting adalah sabar.

"Saya optimis dengan program DNA yang dibawa oleh Teong Kim. Cuma saya harap jangan ada gangguan luar yang boleh menjejaskan program ini. Biar kami lakukan tugas kami dan menghasilkan sesuatu yang ingin dilihat oleh peminat-peminat bola sepak tanah air.

"Dan amat penting sekali agar semua tahu bahawa ia program jangka masa panjang," jelasnya penuh bermakna.

Pasukan PPBN B-13 menyertai Jelajah Eropah bermula 31 Mei lalu dengan melibatkan tiga negara, Jerman, Sepanyol dan Portugal.

PPBN, Malaysia, Jerman

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain