suria

FAM Tetap Guna Pemain JDT, Anggap Komen TMJ Bersifat Peribadi

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan terus menggunakan khidmat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT)  walaupun presiden pasukan itu meminta agar pemainnya tidak lagi diambil mewakili negara dalam perlawanan akan datang.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM menganggap langkah itu bukan 'jalan keluar' kepada kemelut pasukan bola sepak negara dan berpendapat permintaan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ismail itu sebagai satu pandangan peribadi.

"Itu agaknya pandangan baginda apabila ada pihak yang  mengaitkan kekalahan itu dengan pemainnya.

"Saya kira Dollah Salleh dan FAM tetap akan memilih pemain-pemain terbaik untuk masa akan datang dan mereka yang berkeinginan untuk bermain dengan pasukan kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara FAM dan J-League di Wisma FAM di sini, Khamis.

Hamidin berkata demikian sebagai mengulas permintaan TMJ yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) agar khidmat pemain JDT tidak digunakan untuk mewakili negara pada masa akan datang.

Kenyataan TMJ itu dibuat ekoran beberapa pihak yang menyalahkan pemain JDT setiap kali pasukan kebangsaan kalah teruk pada kejohanan bola sepak antarabangsa.

Mengulas lanjut, Hamidin berkata FAM tidak pernah menetapkan standard seperti itu dalam pemilihan pemain, justeru itu beliau sekali lagi berpandangan bahawa Tunku Ismail mungkin merujuk kepada komen-komen peminat bola sepak di media sosial.

"Saya rasa beliau mungkin merujuk kepada media sosial yang ada menyalahkan pemainnya.

"Bagi pihak FAM atau saya sendiri tidak timbul perkara seperti itu dan saya rasa itu pandangan peribadi daripada peminat...bukan itu jalan keluarnya," katanya.

Beliau menegaskan, untuk perlawanan akan datang, mana-mana pemain yang dipanggil oleh jurulatih atau FAM perlu menghadirkan diri kerana mereka tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan.

"Mana-mana pemain, mereka ada panduan - apabila dipanggil jurulatih atau FAM, mereka perlu hadir kecuali mengalami kecederaan," katanya.

Pada Selasa,  skuad Harimau Malaya dibelasah 0-6 oleh Palestin dalam aksi Kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Enam daripada lapan pemain JDT yang tersenarai dalam skuad kebangsaan beraksi pada perlawanan itu. Mereka ialah Safiq Rahim selaku kapten pasukan, penjaga gol Farizal Marlias, Mohd Fahdli Mohd Shas dan Mahalli Jasuli di bahagian pertahanan serta Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safee Sali selaku jentera serangan.

Pada perlawanan pertama Kumpulan A, Malaysia sekadar seri 1-1 berdepan Timor Leste.

Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu pada 3 September dan Arab Saudi pada 8 SEptember.

TMJ, FAM

Artikel Berikut

Artikel Lain