suria

Skuad Badminton Negara Jumpa Indonesia Pada Separuh Akhir

Lee Chong Wei.

SINGAPURA: Skuad badminton negara bermula dengan  langkah kanan selepas pasukan lelaki dan wanita mencatat kemenangan pada saingan suku akhir acara berpasukan pada Sukan SEA 2015 di Stadium Tertutup Singapura, di sini, Rabu.

Skuad lelaki negara yang diketuai bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mudah menundukkan Kemboja 3-0 manakala skuad wanita terpaksa bangkit daripada dua kekalahan dalam acara perseorangan wanita sebelum menundukkan Vietnam 3-2 pada aksi yang berlangsung pada sesi pagi.

Kedua-dua skuad lelaki dan wanita negara dijadual tugas getir berdepan juara bertahan, Indonesia pada saingan separuh akhir, Khamis.

Indonesia, yang muncul juara acara berpasukan lelaki pada edisi 2011 di laman sendiri, mendapat 'bye' pada pusingan suku akhir.

Pasukan wanita Indonesia muncul naib juara acara berpasukan di belakang Thailand pada 2011.

Dalam acara berpasukan lelaki, Chong Wei Feng memberikan permulaan cemerlang untuk Malaysia selepas mengalahkan Chanmara Tep 21-7 dan 21-11 dalam masa 20 minit sebelum Chong Wei hanya mengambil masa 13 minit untuk mengalahkan Cheng Phor Rhom, 21-10 dan 21-5.

Beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong mengesahkan kemenangan selesa ke atas Kemboja menerusi kemenangan straight set 21-8 dan 21-11 ke atas Teav Yong Vannak dan Nguon Kanora.

Berbeza pula dengan laluan yang dihadapi oleh skuad wanita negara apabila  menerima tentangan sengit daripada Vietnam sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2.

Perseorangan wanita negara, Lim Yin Fun 'menghadiahkan' mata pertama untuk Vietnam selepas kalah 17-21 dan 16-21 kepada Vu Thi Trang sebelum Nguyen Thi Sen menjarakkan kedudukan kepada 2-0 menerusi kemenangan 21-17, 16-21 dan 21-17 ke atas Ho Yen Mei.

Beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho menghadirkan mata pertama untuk Malaysia selepas mengalahkan Thai Thi Hong Gam dan Pham Nhu Thao, 21-8 dan 21-10.

Pemain pelapis kebangsaan, Goh Jin Wei menyamakan kedudukan 2-2 menerusi kemenangan rubber-set 21-19, 18-21 dan 21-11 ke atas Nguyen Thuy Linh sebelum beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei mengesahkan kemenangan mutlak Malaysia selepas mengalahkan Vu Thi Trang dan Nguyen Thi Sen, 21-14 dan 21-14.

separuh akhir, badminton, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain