suria

Sukan SEA: Skuad Hoki Wanita Belasah Singapura 7-0

SINGAPURA: Skuad hoki wanita negara melaungkan amaran awal bahawa mereka tetap menjadi pasukan pilihan apabila membelasah Singapura 7-0 pada perlawanan pembukaan temasya Sukan SEA ke-28 di Stadium Hoki Sengkang, di sini, Sabtu.

Malaysia, selaku juara bertahan, menepati ramalan apabila mudah menewaskan tuan rumah dengan jaringan pertama oleh Juliani Mohamad Din menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-14.

Hanis Nadia Onn pula menambah jaringan kedua skuad negara menerusi gol padang pada minit ke-25.

Sorakan penyokong tempatan di sini tidak mematahkan semangat skuad bimbingan Mohammed Nasihin Nubli Ibrahim untuk menambahkan tekanan kepada lawan dengan jaringan ketiga oleh Rabiatul Adawiyah Mohamed selang seminit kemudian.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Fazilla Sylvester Silin memberi kedudukan selesa Malaysia dengan jaringan padang pada minit ke-35.

Bersambung babak kedua, Surizan Awang Noh menambah jaringan kelima pada minit ke-44 diikuti Hanis Nadiah pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti.

Kemudian Juliani bertindak cemerlang dengan akhir negara menerusi dengan pukulan sudut penalti pada minit ke-60.

Skuad negara akan bertemu Thailand esok. Terdahulu, Thailand turut mencatat kemenangan besar menewaskan Indonesia 9-0 dalam satu lagi perlawanan pusingan awal.

Nasihin berkata walaupun skuad negara berjaya meraih kemenangan besar namun pujian perlu diberikan kepada skuad Singapura yang bagus di bahagian pertahanan.

"Saya melihat perlawanan Thailand tadi. Mereka menunjukkan permainan yang baik tetapi saya yakin skuad negara mampu mengatasi mereka esok. Bahagian serangan skuad negara masih perlu ditingkatkan," kata Nasihin.

Dalam pada itu, skuad hoki lelaki negara turut memulakan langkah kanan selepas hanya mampu mengatasi Thailand 3-0.

Malaysia membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Aminudin Mohd Zain, dan Najmi Farizal Jazlan pada minit ke-24 untuk mendahului 2-0 pada separuh masa.

Bersambung babak kedua perlawanan, Najmi Farizal menjaringkan gol ketiga pada minit ke-43. 

Malaysia, selaku juara bertahan, akan berjumpa tuan rumah, Singapura pada Isnin ini.

-- BERNAMA
Sukan SEA

Artikel Lain