suria

Saksikan Video Malaysia B-13 Tumpaskan Bayern Munich

KUALA LUMPUR: Lima kemenangan berturut-turut pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Bawah 13 Tahun dalam siri perlawanan persabahatan Jelajah Eropah sekurang-kurangnya mampu mengubat kekecewaan peminat-peminat bola sepak tempatan terhadap aksi hambar skuad Bawah 23 Tahun di Singapura.

Pujian dan kutukan bagaikan berjalan beriringan buat pasukan negara, dan hakikatnya skuad muda B-13 tahun ini berjaya mencuri perhatian peminat tegar bola sepak tempatan yang nyata kecewa dengan persembahan skuad Sukan SEA itu.

Malah pemain-pemain muda yang berada dalam program bola sepak negara ini berjaya membuat kejutan menewaskan skuad B-13 kelab terkemuka dunia, Bayern Munich pada Khamis.

Barisan muda yang dibimbing oleh Pengarah Teknikal PPBN, Lim Teong Kim ini berharap akan terus mencipta kemenangan pada aksi persahabatan dan dua kejohanan di Sepanyol dan Portugal minggu depan.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk perlawanan persahabatan dan Piala Iber selepas ini demi Malaysia," jelas penjaga gol Sikh Izhan di laman Facebook NFDP Malaysia-PPBN. 

Dan pada hari yang sama (Khamis) menyaksikan skuad B-23 tewas 1-0 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura.

Keputusan itu mengheret skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee ini perlu mengharapkan agar dua pasukan teratas, Vietnam dan Thailand kalah dalam baki dua peringkat kumpulan.

Selain itu, Malaysia wajib menang baki dua perlawanan iaitu menentang Brunei pada Isnin ini dan Laos, tiga hari kemudian sekiranya berhasrat mara ke peringkat separuh akhir nanti.

PPBN, NFDP, Bawah 13 Tahun, Skuad 23 Tahun

Artikel Lain