suria

Renang Berirama Tutup Tirai, Tambah Satu Lagi Pingat Perak

Persembahan pasukan Renang Berirama negara dalam Acara Renang Berirama Berpasukan Rutin Bebas pada temasya Sukan SEA Ke-28 di Pusat Akuatik OCBC Arena pada Khamis.
SINGAPURA: Pasukan renang berirama negara menutup penyertaan mereka pada Sukan SEA ke-28 dengan menambah satu lagi pingat perak, malam Khamis.

Pasukan di bawah bimbingan jurulatih dari China, Long Yan dan dibantu bekas atlet renang berirama negara, Shreen Png itu meraih perak dalam rutin campuran bebas berpasukan dengan mengumpul 73.7333 mata iaitu 3.3333 mata di belakang pasukan tuan rumah yang memperoleh 77.0667 mata.

Pingat gangsa milik Indonesia yang mengutip 71.6667 mata.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan pencapaian mereka. Pasukan ini akan digilap dalam persediaan untuk menghadapi Sukan SEA dua tahun lagi apabila Malaysia menjadi tuan rumah.

"Sebagai persediaan dan pendedahan, pasukan renang berirama ini akan menyertai Karnival Komanwel di Australia pada September depan. Bagaimanapun ia bergantung kepada ASUM (Kesatuan Renang Amatur Malaysia) dan Majlis Sukan Negara," kata Shreen.

Acara renang berirama yang menutup tirai malam ini, menyaksikan pasukan tuan rumah mengungguli acara itu dengan dua pingat emas dan satu perak.

Sementara, Malaysia di tempat kedua dengan satu pingat emas dan dua perak manakala Indonesia di tempat ketiga dengan tiga gangsa.
renang berirama, Sukan SEA ke-28

Artikel Lain