suria

MHC Tetap KPI Langsai Hutang RM2.7 Juta Dalam Tempoh Setahun

KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan baharu telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk melangsaikan hutang berjumlah RM2.7 juta yang ditanggung oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata mereka menetapkan tempoh setahun untuk mencapai KPI tersebut.

Katanya beliau bersedia untuk melalui proses penilaian KPI sepertimana yang akan dilalui oleh semua pengerusi jawatankuasa.

Memegang dua portfolio iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Jawatankuasa Kewangan, beliau berkata sebagai presiden beliau harus bertanggungjawab dalam dua perkara ini.

Katanya beliau memegang portfolio pengurusan pasukan kebangsaan kerana masa adalah terlalu suntuk sebelum skuad negara bimbingan Tai Beng Hai menghadapi saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium, dari 20 Jun hingga 5 Julai ini.

Kejohanan di Belgium itu merupakan salah satu misi negara untuk memburu slot ke Sukan Olimpik Rio 2016.

"Adalah betul dan adil untuk saya mempengerusikan jawatankuasa ini agar saya benar-benar tahu apa yang berlaku dalam skuad dan apa bantuan yang boleh diberikan kepada mereka," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Terdahulu, beliau menyampaikan cek bayaran tunggakan kepada pemain skuad lelaki senior dan skuad wanita Sukan SEA Singapura berjumlah RM282,000 di pejabat MHC di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil, di sini.

"Untuk kewangan, saya sendiri tidak tahu siapa yang mahu pegang jawatankuasa ini. Setakat yang kita bentangkan hari ini, kita ada hutang berjumlah RM2.7 juta. Kita harap dapat langsaikan hutang ini dalam tempoh setahun," katanya.

"Dengan adanya KPI, saya sebagai presiden akan dinilai oleh Lembaga Eksekutif MHC," katanya yang turut mengulas mengenai pendapat pihak tertentu agar beliau tidak menggalas portfolio tertentu dan sebaliknya hanya menjadi penasihat kepada jawatankuasa yang dibentuk itu.

Dalam pada itu, Subahan mengumumkan pengerusi jawatankuasa yang akan digalas oleh presiden, dua timbalan presiden dan tujuh naib presiden.

MHC juga membentuk dua jawatankuasa baharu iaitu Hubungan Antarabangsa dan Hoki Lima Sebelah.

"Semua pengerusi jawatankuasa perlu mencapai KPI masing-masing dalam tempoh setahun dan selepas itu pertukaran akan dilakukan sekiranya diperlukan,"katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Dalam MHC:

1. Pengurusan Pasukan Kebangsaan: Datuk Seri Subahan Kamal

2. Pembangunan: Dr S. Shamala

3. Pertandingan: George Koshy

4. Kejurulatihan: Datuk Ow Soon Kooi

5. Prestasi Tinggi: Datuk V. Radhakrishnan Nair

6. Kewangan: Datuk Seri Subahan Kamal

7. Pemasaran & Penajaan: Datuk Wan Ahmad Nizam

8. Hubungan Antarabangsa: S. Satish Kumar

9. Hoki Lima Sebelah: Nik Zarah Nik Abdul Kadir

10. Media & Perhubungan Awam: S. Nagula

11. Dalam Dewan & Projek Khas: Majid Manjit Abdullah

12. Perubatan: Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman

13. Perundangan: Jagadish Chandra.

MHC, Hoki, Datuk Seri Subahan Kamal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain