suria

Hanya Dua Beregu Lelaki Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Australia

KUALA LUMPUR: Hanya dua beregu lelaki negara berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2015 di Sydney.

Pasangan utama negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong bagaimanapun terpaksa berhempas pulas selama satu jam 13 minit sebelum berjaya menewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup/Anders Skaarup Rasmussen 21-19, 18-21 dan 30-28.

Tugas berat menanti V Shem/Wee Kiong sebelum pasangan negara itu mara ke peringkat suku akhir apabila bakal berdepan pasangan Jepun, Hiroyuki Endo/Kenichi Hayakawa pada pusingan kedua Khamis.

Pasangan Jepun, selaku pilihan kelima kejohanan, menewaskan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov/Ivan Sozonov 21-19 dan 21-18.

Satu lagi pasangan negara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong yang membuat penampilan semula selepas sekian lama tidak beraksi bersama, membuktikan mereka masih berbisa apabila turut mara ke pusingan kedua.

Pemenang pingat emas Sukan Asia di Doha, Qatar 2006 itu menewaskan beregu Jepun, Takeshi Kamura/Keigo Sonoda dalam perlawanan yang berlarutan hingga ke set penentuan 21-16, 20-22 dan 21-10.

Kien Keat/Boon Heong akan bertarung dengan pilihan ketiga kejohanan, Lee Sheng Mu/Tsai Chia Hsin dari Taiwan yang menundukkan satu lagi pasangan negara Mak Hee Chun/Teo Kok Siang 22-20, 19-21 dan 21-8.

Satu-satunya pemain perseorangan lelaki negara, Chong Wei Feng pula gagal meneruskan kecemerlangan apabila tumpas kepada pemain Korea Selatan, Lee Hyun Il.

Wei Feng yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-28 semalam, beraksi cemerlang pada awal set pertama, bagaimanapun terpaksa tunduk kepada kehebatan pemain Korea Selatan berusia 35 tahun itu dengan 14-21 dan 9-21.

Pemain bebas negara Lydia Cheah tewas kepada pemain di ranking pertama dunia Saina Nehwal dari India 12-21 dan 10-21 manakala pemain di bawah naungan

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tee Jing Yi tewas kepada Minatsu Mitani dari Jepun 8-21 dan 11-21 dalam acara perseorangan wanita.

Kemaraan dua pasangan beregu wanita negara dan pasangan beregu campuran turut disekat lawan masing-masing pada perlawanan pusingan pertama.

Vivian Hoo/Woon Khe Wei gagal menyaingi kehebatan pilihan ketiga kejohanan, Reika Kakiiwa/Miyuki Maeda dari Jepun, 13-21 dan 17-21 manakala Amelia Alicia

Anscelly/Soong Fei Cho tewas kepada pasangan Thailand, Duanganong Aroonkesorn/Kunchala Voravichitchaikul, 13-21 dan 17-21.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying yang beraksi cemerlang pada Piala Sudirman di Dongguan, China baru-baru ini, bagaimanapun gagal menewaskan pasangan Korea Selatan, Shin Baek Choel/Chae Yoo Jung.

Mereka tewas 8-21 dan 11-21.
-- BERNAMA
badminton

Artikel Lain