suria

Piala FA: Penyokong Kelantan Diminta Jaga Disiplin

Penyokong Kelantan, Mohd Hafimi (kanan) dan Mohd Faris menunjukkan tiket yang dibeli mereka untuk pertemuan akhir antara Kelantan dan Lions XII pada Sabtu. - foto SAZUKI EMBONG/The Star

KOTA BARU: Penyokong The Red Warriors (TRW) perlu menjaga disiplin sepanjang perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Lions XII berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam Sabtu.

Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) Mohd Khairi Yazid berkata beliau berharap penyokong tidak membuat perkara yang boleh mencetuskan kontroversi pada perlawanan akhir itu.

"Saya harap penyokong lebih berdisiplin dan tidak membuat sebarang tindakan yang boleh menggangu perlawanan akhir piala FA malam Sabtu.

"Tindakan seperti membakar suar dan lain-lain sudah jelas tidak dibenarkan, jadi saya harap penyokong tidak membawa masuk barang yang tidak sepatutnya," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Beliau juga berkata pemain TRW juga perlu mempamerkan aksi yang bertenaga pada perlawanan akhir tersebut bagi membolehkan pasukan menjulang piala FA buat kali ketiga.

"Saya harap pemain bagi komitmen 100 peratus, kita memang inginkan kemenangan dan tidak mahu piala FA dibawa keluar dari Malaysia.

"Ini juga merupakan peluang terbaik untuk TRW menjulang piala dan menghadiahkan sesuatu buat penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan pada saat pasukan susah," katanya.

Mohd Khairi berkata beliau yakin jurulatih Kelantan iaitu Mohd Azraai Khor Abdullah mempunyai strategi yang mantap untuk memenangi perlawanan tersebut.

"Namun kita tidak boleh pandang rendah kekuatan Lions XII, mereka berjaya tewaskan Terengganu dan ia pencapaian yang baik.

"Saya yakin kita mampu menjulang piala FA tahun ini, harapan penyokong juga tinggi dan harap sokongan padu ini dapat membakar semangat pemain untuk berjuang," katanya.

Kelantan yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir. 

Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir, berdepan Terengganu, Sabtu lepas.


Piala FA, The Red Warriors, Lions XII

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kane Setia Bersama Spurs

Artikel Lain