suria

Piala FA: Pemeriksaan Ketat Di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Tiga lapisan pencegahan akan dilaksanakan oleh pihak keselamatan terhadap penonton yang berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil di sini bagi menyaksikan final Piala FA 2015 antara Kelantan dan Lions XII, pada Sabtu malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Piala FA, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata selain pemeriksaan badan, tiket penonton akan diperiksa menerusi sistem ultra ungu dan pemeriksaan ke atas sesiap yang cuba membawa barang-barang larangan ke stadium.

Beliau berkata sesiapa yang cuba masuk dengan tiket palsu selepas dikesan menerusi sistem ultra ungu akan ditahan oleh polis untuk tindakan susulan.

"Lebih 2,000 anggota keselamatan akan bertugas di dalam dan luar stadium sebelum, semasa dan selepas perlawanan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan di stadium berkenaan, hari ini.

Beliau mengesahkan bahawa kesemua 80,000 tiket perlawanan akhir itu telah habis dijual kepada penyokong kedua-dua pasukan, termasuk 3,000 tiket untuk kanak-kanak.

Afandi meminta penyokong kedua-dua pasukan supaya menjaga tingkah laku dengan memberi sokongan secara berhemah bagi membakar semangat pasukan dan bukan bersifat provokasi.

Dalam pada itu, XOX Mobile akan menaja sebuah trofi dan wang tunai RM10,000 untuk Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan Akhir Piala FA.

Kelantan ,yang muncul juara pada 2012 dan 2013, mara ke final menerusi kemenangan agregat 3-2 ke atas juara bertahan Pahang pada separuh akhir.

Lions XII pula melangkah ke final menerusi peraturan gol tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir, berdepan Terengganu, Sabtu lepas.

Piala FA

Artikel Lain