suria

Liga Hoki Dunia: Semua Pemain Perlu Kekal Rentak Permainan

Beng Hai (topi merah) ketika sesi latihan skuad negara baru-baru ini.

KUALA LUMPUR: Pemain negara perlu mengekalkan rentak permainan dan memanfaatkan setiap peluang untuk menjaringkan gol pada pusingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium Jun ini.


Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan Tai Beng Hai berkata kelemahan pemain yang dapat dikesan sepanjang perlawanan persahabatan dengan Belgium dan Belanda baru-baru ini, ialah pemain negara 'lambat panas'.

"Semua pemain diberi peluang untuk bermain dan kita dapat lihat prestasi mereka. Latihan di Eropah ada nampak pemain kita macam lambat panas. 

"Walaupun kita nampak perubahan dan ada peningkatan, kita masih perlu pastikan setiap masa bila bermain, setiap saat dan minit dalam perlawanan amat penting (kepada pemain). Jadi kita tidak boleh leka," katanya.

Dalam pada itu, Beng Hai berkata pengalaman bermain di atas padang yang bakal digunakan pada kejohanan yang akan berlangsung dari 20 Jun hingga 5 Julai itu, dapat memberi peluang kepada pemain menyesuaikan diri.

"Ini dapat menolong sedikit sebanyak dalam persediaan kita menghadapi kejohanan itu nanti," katanya.

Pada Isinin, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal mengumumkan Beng Hai sebagai ketua jurulatih dan dibantu oleh bekas pemain kebangsaan yang juga ketua jurulatih skuad hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) Nor Saiful Zaini Nasiruddin dalam mempersiapkan skuad kebangsaan ke kejohanan itu yang turut menjadi pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.

Mengenai pelantikannya dan Nor Saiful itu, Beng Hai berkata matlamat beliau sekarang adalah untuk menumpukan perhatian kepada persiapan skuad negara di samping mendambakan komitmen daripada semua pihak terutama pemain dan pegawai bagi meningkatkan prestasi pasukan negara.

"Saya rasa ini satu hala tuju di mana kita boleh bergerak ke hadapan tidak kira pegawai mana yang dilantik, yang penting kita layak ke Sukan Olimpik Rio tahun depan.

"Kita mesti tumpukan kepada usaha menjayakan pasukan daripada perkara lain," katanya.

Beng Hai dan Nor Saiful pernah digandingkan mengemudi skuad negara menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Asia pada 2009 sebelum kembali bekerjasama pada 2012 untuk menyertai pusingan kelayakan Sukan Olimpik London, di Dublin, Ireland.

liga hoki dunia, tai beng hai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain