suria

Tengku Abdullah Minta Semua Pihak Bersabar Insiden Bola Di Terengganu

Tengku Abdullah

KUANTAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak bersabar dalam mencari penyelesaian terbaik bagi kes yang membabitkan rusuhan penyokong Terengganu pada aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Sabtu.

"Saya masih lagi menunggu laporan (mengenai kejadian itu) begitu sedih dengan kejadian kita harap semua pihak bersabar dalam hal ini untuk cari penyelesaian terbaik dalam hal ini.

"Saya ingat ini mungkin saat-saat yang genting yang selalunya emosi meletop apabila keadaan seperti ini terjadi," katanya selepas menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, Isnin.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah turut meminta Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi penjelasan setelah mendapat laporan yang terperinci.

Tanpa menimbulkan sebarang spekulasi beliau meminta semua pihak bersabar dan menunggu laporan daripada FAM.

Terengganu menang 3-2 ke atas wakil Singapura, Lions XII pada aksi timbal balik, Sabtu malam, namun gagal mara ke perlawanan akhir Piala FA berdasarkan peraturan gol di tempat lawan walaupun terikat 4-4 secara agregat.

Lions XII menang tipis 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura, 9 Mei lepas.

Penyokong Terengganu dilaporkan menimbulkan kekecohan dengan merosakkan harta benda awam termasuk membakar sebuah ambulans yang diletakkan di perkarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin selepas skuad Penyu gagal melangkah ke final Piala FA.

Kekecohan berkenaan dikatakan berpunca rasa tidak hati mereka terhadap keputusan pengadil Mohd Amirul Izwan yang membatalkan jaringan keempat Terengganu menerusi tandukan Ahmad Nordin pada minit ke-89 kerana dikatakan berada pada kedudukan offside.

Lions XII bakal menentang Kelantan pada aksi akhir Piala FA pada 23 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil.-- Bernama


Artikel Lain