suria

China Juara Enam Kali Piala Sudirman

Lin Dan meraikan kejayaan menewaskan pemain perseorangan Jepun, Takuma Ueda pada final Piala Sudirman 2015 di Dongguan, Ahad.

CHINA berjaya merangkul kejuaraan Piala Sudirman buat kali keenam berturut-turut selepas menundukkan Jepun pada perlawanan akhir yang berlangsung Ahad.

Sepanjang perlawanan, pasukan Jepun memberikan saingan yang sengit walaupun bermain di tempat lawan tetapi akhirnya terpaksa tunduk kepada kehebatan prestasi tuan rumah.

Beregu lelaki China menyumbangkan mata pertama apabila gandingan Fu Haifeng dan Zhang Nan menewaskan beregu Jepun, Hiroyuki Endo dan Kenichi Hayakawa 21-17, 20-22, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung selama 79 minit.

Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, Li Xuerui menerima saingan sengit dari Akane Yamaguchi tetapi akhirnya berjaya menambah satu lagi mata untuk pasukannya apabila memenangi perlawanan 23-21, 21-14.

Li menerangkan tekanan yang dirasai menjadi punca dia melakukan beberapa kesilapan pada set pertama.

"Ini merupakan kejohanan yang besar dan tekanan amat dirasai.

"Itulah punca keputusan begitu sengit pada set pertama kerana saya banyak melakukan kesilapan," kata Li.

China mengesahkan kemenangan apabila pemain nombor dua dunia, Lin Dan menewaskan Takuma Ueda 21-15, 21-13 untuk memastikan kemenangan 3-0 ke atas pasukan Jepun.



China, Piala Sudirman, Hu Haifeng

Artikel Lain