suria

Beng Hai, Nor Saiful Diganding Semula Kemudi Skuad Hoki Negara

Tai Beng Hai.

KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) memutuskan untuk melantik Tai Beng Hai selaku ketua jurulatih skuad hoki senior kebangsaan yang baharu.

Beng Hai yang sebelum ini menjadi pengendali sementara skuad itu akan dibantu bekas pemain kebangsaan yang juga ketua jurulatih pasukan hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Beng Hai dan Nor Saiful diberi tanggungjawab mempersiapkan skuad senior bagi menghadapi peringkat separuh akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium dari 20 Jun hingga 5 Julai.

Sementara itu, Neil Hagwood yang dilantik sebagai perunding skuad negara pada Disember lepas, kekal menjawat jawatan berkenaan sehingga tamat kontrak pada Jun ini, manakala Stephen Van Huizen dilantik sebagai pengurus pasukan.

Pengumuman itu dibuat Presiden MHC yang baharu Datuk Seri Subahan Kamal di pejabat MHC di Bukit Jalil pada Isnin.

Subahan berkata pelantikan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan serta mengambil kira pendapat pelbagai pihak termasuk pemain skuad senior negara.

"Keputusan dibuat setelah mengadakan perbincangan dan maklum balas daripada semua pihak termasuk Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta pemain skuad senior.

"Pelantikan Beng Hai serta mengekalkan peranan Hagwood adalah supaya tidak mengganggu persiapan yang telah dilakukan skuad negara (semasa Beng Hai menjadi jurulatih sementara)," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Subahan berkata pelantikan Nor Saiful pula berdasarkan prestasi beliau selaku bekas pemain serta kecemerlangan membimbing skuad TNB pada Liga Hoki Malaysia.

"Nor Saiful adalah pilihan terbaik yang kita ada. Saya meletakkan keyakinan kepada beliau. Semua pihak termasuk jurulatih dan pemain menerima dengan hati terbuka.

"Kita cuma ada satu bulan untuk mempersiapkan pasukan. Kita perlu kekal berdisiplin dan bersiap sedia," katanya.

Beng Hai dan Nor Saiful pernah digandingkan mengemudi skuad negara menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Asia pada 2009 sebelum kembali bekerjasama pada 2012 untuk menyertai pusingan kelayakan Sukan Olimpik London, di Dublin, Ireland.

Sementara itu, perbincangan pada Isnin juga memutuskan pelantikan Subahan dan Ahmad Shapawi sebagai pengerusi bersama program 1MAS iaitu program pembangunan sukan hoki bagi menggantikan pengerusi sebelumnya Datuk Seri Zolkples Embong.

Subahan berkata keputusan dibuat di bawah penstrukturan semula program itu dan beliau akan berjumpa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk membentangkan pelan program berkenaan.

"Kita telah mengadakan perjumpaan dengan Ahmad Shapawi pada Ahad, dan semua keputusan dibuat berdasarkan input yang kita peroleh hasil perjumpaan itu," katanya.

Artikel Lain