suria

McLaren Bakal Tampil Dengan Warna Baharu Pada GP Sepanyol

PASUKAN Formula Satu (F1), McLaren bakal mempamerkan hiasan baharu di jentera mereka pada perlumbaan Grand Prix Sepanyol yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Jentera yang menggunakan kuasa Honda itu memaparkan elemen krom yang menonjolkan ciri-ciri dinamik berwarna kelabu-grafit yang mampu dilihat lebih terang terutamanya pada perlumbaan malam.

Hiasan Jentera yang digunakan pasukan McLaren bagi musim pertama bersama Honda sejak 1992 menjadi subjek yang menimbulkan spekulasi dan terdapat sebilangan besar peminat yang kecewa apabila pasukan tersebut mendedahkan warna baharu yang dilihat hampir sama dengan sentuhan sebelum ini.

Pengerusi pasukan McLaren, Ron Dennis, berkata perubahan hiasan jentera yang mungkin diubah lewat tahun ini dan menjelaskan perubahan tersebut adalah di atas sebab-sebab komersial dan bukan kerana estetik.

"Ya, kami mungkin akan mengubah warna jentera.

"Kami boleh mengubah warna tersebut tetapi berikan saya sebab kenapa ia perlu ditukar?

"Bagi saya, warna jentera perlu diubah untuk menjadikan jentera lebih menarik bukanlah satu alasan yang kukuh," kata Dennis.

Dennis juga berkata, tarikh untuk mengubah warna hiasan jentera masih belum ditetapkan. 

"Peminat  tidak perlu risau kerana kami akan menukar warna tersebut tetapi saya akan memberitahu bila ia akan diubah," katanya lagi.

Sebelum ini, pasukan McLaren menggunakan warna merah dan putih semasa berkerjasama dengan Marlboro selama dua dekad sebelum ia ditukar menggunakan warna berasaskan perak pada 1997.

McLaren, Formula Satu

Artikel Lain