suria

Sazali Samad Raih Gelaran Mr Universe Buat Kali Ke-10

SEPANG: Jaguh bina badan negara, Sazali Samad merangkul gelaran Mr. Universe buat kali ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Mumbai, India yang berlangsung dari 5 hingga 10 Disember lepas.

Sazali yang meraih gelaran juara dunia sebanyak enam tahun berturut-turut sejak 2009 itu berkata, bukan mudah baginya untuk mengekalkan prestasi cemerlang, disusuli dengan persaingan sengit dari atlet negara lain.

"Untuk kekalkan gelaran Mr. Universe buat kali ke-10 ini, bukan satu perkara mudah. Saya dah lakukan yang terbaik, bagi saya menang atau kalah adat pertandingan. Memang sejak daripada awal tahun, saya sudah sasar untuk menang.

Berkat usaha dan pengorbanan saya...perjuangan dalam sukan bina badan ini, hampir 27 tahun, saya berjaya capai satu keputusan yang membanggakan," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di sini, Khamis.

Bagi memastikan hasrat yang ditekadkan sejak dari awal tahun itu tercapai, Sazali cuba mendapatkan rawatan susulan yang rapi berikutan kecederaan lutut dan bahu yang dialami beliau.

Mengulas mengenai persaingan yang terpaksa dihadapi ketika beraksi dalam kelas 75kg, Sazali berkata beliau menerima saingan sengit daripada peserta India dan Iran.

"Peserta dari Iran dan India bagi saya memang merupakan pesaing terbaik.

Mereka sangat berkualiti, tidak mudah untuk saya tandingi. Dari segi pengadilan juri pula, saya rasa para juri telah memberikan mata yang adil," katanya.

Ditanya sama ada mahu meneruskan perjuangannya dalam bidang bina badan ke peringkat profesional, Sazali berkata beliau sudah berpuas hati bertanding dalam kategori amatur dan mahu komited bersama keluarga.

Sementara itu, pemegang gelaran Miss Universe 2014, Lilian Tan merasa bangga setelah berjaya meraih gelaran itu buat kali kedua di kejohanan di Mumbai  berakhir semalam selepas kemenangan pertamanya di Bangkok, dua tahun lepas.

Tan berkata, beliau mahu merebut gelaran Miss Universe ketiganya pada kejohanan sama edisi 2016 di Brazil.

Sazali Samad, Mr Universe, Mumbai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain