suria

Harimau Malaya Perlu Menang Selesa Esok - Khairy

JOHOR BAHARU: Skuad Harimau Malaya perlu mencipta kemenangan selesa pada pertemuan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 berdepan Vietnam di Stadium Shah Alam, esok.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata anak buah Dollah Salleh itu perlu menang sekurang-kurangnya dengan jaringan 2-0 sebagai bekalan selesa sebelum beraksi di tempat lawan untuk separuh akhir kedua pada 11 Dis.
 
"Saya harap kemenangan selesa di Shah Alam esok, sebab kita hendak membawa keputusan selesa ke Hanoi, Vietnam. Strateginya, biar mereka kejar kita di tempat lawan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panelis pada majlis #kata kita Townhall "Keharmonian Kaum", bersama-sama pengamal undang-undang, JR Tey, di sini hari ini.

Khairy berkata kemenangan selesa Harimau Malaya esok akan memberi tekanan terhadap pasukan Vietnam untuk beraksi cemerlang pada separuh akhir kedua di Hanoi.
 
 
"Biar tekanan itu kepada mereka dan bukan kita. Jika kita hendak memberi tekanan kepada mereka, pastikan esok kita memperoleh kemenangan selesa sekurang-kurangnya 2-0," katanya.

Beliau juga berharap pintu gol negara tidak dibolosi berikutan peraturan bahawa jaringan gol di tempat lawan memberi kelebihan kepada Vietnam.

Menteri Belia dan Sukan itu mahu kalendar sukan Malaysia tahun ini, ditutup dengan cemerlang menerusi kejayaan skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF Suzuki 2014, sekali gus mengulangi pencapaian empat tahun lepas.

Artikel Sebelum

Artikel Lain