suria

Piala AFF Suzuki: Harimau Malaya Mara Ke Separuh Akhir, Singkir Juara Bertahan

Pemain-pemain Harimau Malaya memberi penghormatan kepada penyokong-penyokong negara selepas berjaya mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki. Foto: S.S KANESAN/The Star
SKUAD Harimau Malaya berjaya mengulangi pencapaian 2012 mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki selepas menyingkirkan juara bertahan Singapura, 3-1 pada aksi peringkat Kumpulan B Sabtu malam.

Skuad bimbingan Dollah Salleh itu melengkapi aksi peringkat Kumpulan B dengan mencatat seri tanpa jaringan ke atas Myanmar, tewas 3-2 kepada pendahulu kumpulan Thailand dan menang ke atas pasukan tuan rumah.

Kemenangan ini amat penting buat pasukan negara selepas berdepan dengan pelbagai kritikan pedas gara-gara aksi hampar dalam beberapa siri aksi perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum ini.

Lebih bermakna, tiga pemain senior negara meranapkan impian juara bertahan ini untuk melebarkan rekod pasukan paling banyak menjulang trofi kejohanan ini.

Mohd Safee Sali yang pernah meraih gelaran Pemain Terbaik kejohanan ini ketika skuad negara muncul juara pada tahun 2010, membuktikan sentuhannya masih berbisa dengan membuka jaringan pertama pada minit ke-61 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Namun kegembiraan itu hanya seketika apabila pemain Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal menyamakan kedudukan pada minit ke-83.

Bagaimana pun pemain-pemain negara tidak cepat melatah terus mencuba mencari gol kemenangan dan ianya hadir pada masa tambahan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Safiq Rahim pada minit ke-91.

Pengadil dari Oman,  Al Kaf Ahmed Abu Bakar Said menghadiahkan sepakan penalti itu selepas Mohd Amri Yahyah dijatuhkan dalam kotak penalti.

Manakala pemain veteran negara, Indra Putra Mahayuddin menambah duka Singapura dengan jaringan ketiga pada minit ke-94 sebelum wisel penamat dibunyikan.

Dalam satu lagi aksi perlawanan kumpulan B, juara tiga kali Thailand mengekalkan  rekod bersih tanpa kalah dengan menewaskan Myanmar 2-0.

Malaysia bakal bertemu dengan juara Kumpulan A, Vietnam pada aksi separuh akhir (timbal balik), manakala Thailand akan bertemu dengan Filipina.

Sebagai rekod, Singapura menjuarai kejohanan ini pada tahun 1998, 2004, 2007, 2012, manakala Thailand muncul juara 1996, 2000, 2002. 

Artikel Lain