suria

Piala AFF Suzuki: Dollah Puas Hati Percaturan Saat Akhir Berhasil

SINGAPURA: Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh berpuashati dengan keputusan saat-saat akhir untuk merombak jentera serangan negara sewaktu menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, Sabtu malam.


Langkah itu mendatangkan hasil, kata beliau. 

Bekas Ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata penyerang kembar negara, Mohd Safee Mohd Sali dan Norshahrul Idlan Talaha cuba mencari gol kemenangan pada aksi terakhir kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 itu, namun gagal.

"Sebab itu saya mengambil keputusan untuk memasukkan Abdul Manaf (Mamat) dan Indra Putra (Mahayuddin) pada saat-saat akhir bagi menggantikan mereka berdua dan ia nyata berbaloi. 

"Apa yang menarik mengenai Indra Putra adalah beliau mampu menjaringkan gol daripada sudut yang sukar dan beliau wajar dijadikan contoh oleh beberapa pemain muda kita," kata Dollah kepada pemberita selepas perlawanan itu. 

Kemenangan 3-1 yang diraih Malaysia pada perlawanan malam ini membawa skuad negara ke peringkat separuh akhir berdepan juara kumpulan A, Vietnam, awal Disember ini.  

Dollah turut memuji kesemua barisan pemain negara termasuk pemain sayap, Azamuddin Mohd Akil yang berusaha untuk mencipta peluang jaringan kepada jentera serangan ketika skuad negara terdesak untuk memenangi perlawanan tersebut untukterus kekal bersaing. 

"Saya amat berbangga kerana semua pemain tidak mudah berputus asa ketika kita terdesak untuk mencari gol kemenangan. 

"Saya agak bimbang sewaktu kita terikat seri 1-1, namun para pemain tidak patah semangat dan bangkit meraih kejayaan," jelas Dollah. 

Berkongsi pandangan yang sama adalah Mohd Safee yang berpuashati dengan persembahan yang dipamerkan oleh rakan sepasukan walaupun berdepan tekanan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Singapura. 

"Pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya harap kita dapat meneruskan rentak kemenangan ini apabila menentang Vietnam nanti," jelas penyerang kelab Johor Darul Ta'zim itu.  

Thailand yang muncul juara kumpulan B susulan kemenangan 3-1 ke atas Myanmar di Stadium Besar malam ini bakal menentang naib juara kumpulan A, Filipina pada peringkat separuh akhir.

Aksi separuh akhir akan dilangsungkan mengikut format kalah mati iaituseparuh akhir pertama pada 6 dan 7 Disember diikuti separuh akhir kedua pada 10 dan 11 Disember ini. - BERNAMA 

Piala AFF Suzuki, Dollah Salleh

Artikel Lain