suria

Piala AFF Suzuki: PM Ucap Tahniah Harimau Malaya Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya di atas kejayaan skuad negara menumpaskan pasukan Singapura pada kejohanan Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub malam Sabtu.

"Tahniah Harimau Malaya berjaya tundukkan Singapura 3-1. Kita mara ke separuh akhir! #AFFSuzukiCup," kata Perdana Menteri dalam laman Twitternya.

Kemenangan itu, hasil jaringan Mohd Safee Mohd Sali, Safiq Rahim dan Indra Putra Mahayuddin, membolehkan Malaysia menempah slot separuh akhir bersama-sama juara Kumpulan B, Thailand.

Pada peringkat separuh akhir awal Disember ini, Malaysia akan bertemu juara Kumpulan A, Vietnam manakala Thailand yang merupakan juara tiga kali, bakal membuat perhitungan dengan naib juara Kumpulan A, Filipina.

Perlawanan separuh akhir akan dijalankan mengikut format timbal balik iaitu separuh akhir pertama pada 6 dan 7 Disember manakala separuh akhir kedua pada 10 dan 11 Disember.

Artikel Lain