suria

Fernando Alonso Tidak Pasti Tentang Musim Depan

Fernando Alonso. Foto: Getty Images.

PEMANDU Ferrari, Fernando Alonso pada Khamis menafikan khabar angin yang mengatakan dia bakal beraksi bersama pasukan Formula 1 McLaren musim depan.

Sebaliknya, Alonso menegaskan yang nasibnya musim depan belum ditentukan lagi.

Kontrak Alonso bersama Ferrari akan tamat menjelang hujung musim ini yang hanya tinggal dua perlumbaan sahaja lagi.

Kata pemandu dari Sepanyol itu, dia sebenarnya tidak dapat membuat keputusan mengenai perancangan musim depan buat masa ini.

Alonso, 33, buat masa ini menduduki tangga keenam dalam senarai 22 pemandu F1.

Katanya, cakap-cakap yang mengaitkannya dengan pasukan McLaren hanyalah khabar angin semata-mata.

"Hakikatnya saya tidak menandatangani sebarang kontrak baru dengan mana-mana pasukan lagi termasuklah McLaren untuk musim depan," ujarnya sebagaimana yang dipetik oleh portal berita Britain, Mail Online.

Juara dunia dua kali itu telah memandu untuk Ferrari sejak 2010.

Alonso berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keenam dalam GP Amerika Syarikat minggu lalu.

Perlumbaan itu dimenangi oleh Hamilton diikuti oleh Nico Rosberg di tempat kedua dan Daniel Ricciardo di tempat ketiga.

Artikel Berikut

Artikel Lain