suria

Perlis Jamin Lokasi Sukma Siap Menjelang Mei

Azlan Man menyampaikan cederamata kepada Ketua Editor Kumpulan The Star, June Wong.
PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis, Azlan Man memberi jaminan semua acara temasya Sukan Malaysia ke-17 (Sukma-17) yang akan berlangsung Mei ini akan diadakan di negeri itu.

Menurut beliau, Perlis selaku tuan rumah sukan dwi-tahunan itu kini dalam fasa akhir untuk memastikan semua venue acara Sukma berada dalam keadaan sedia untuk digunakan selewat-lewatnya minggu pertama Mei ini.

"Hingga kini kira-kira 90 peratus venue sudah siap sama ada yang perlu dinaik taraf ataupun yang baru dibina sempena acara ini.

"Saya yakin semuanya akan siap mengikut perancangan walaupun ada lokasi yang agak terkebelakang disiapkan berbanding sasaran awal," katanya di sini, Rabu.

Terdahulu Azlan dan exco kerajaan negeri serta ahli Majlis Sukan Negeri (MSN) mengadakan lawatan ke Menara Star dalam usaha mempromosi Perlis sebagai tuan rumah Sukma-17 yang akan berlangsung bermula dari 26 Mei hingga 4 Jun ini.

Jelas Azlan, tiga venue yang sedang dalam proses pembinaan fasa akhir ialah pusat akuatik, gelanggang badminton dan kemudahan kelab golf.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencadangkan agar semua acara akuatik dipindahkan ke Alor Setar, Kedah sekiranya Perlis gagal menyiapkan kemudahan bagi acara sukan berkenaan.

Mengulas mengenai sasaran kutipan pingat, Azman berkata MSN Perlis mensasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya 14 pingat emas, perak (15) dan gangsa (10).

"Kita mengharapkan sukan-sukan tertentu seperti tinju, golf, tenis, petanque dan kenu dapat memberikan pingat yang lebih kepada Perlis," katanya.

Sukma, Perlis, Azlan Man

Artikel Sebelum

Artikel Lain