suria

32 Pasukan Sertai Piala Raja Bola Di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR: Sejumlah 32 pasukan bakal menyertai Kejohanan Bola Sepak Perpaduan Tujuh Sebelah bagi merebut Piala Raja Bola, pada 10 November ini di Padang Majlis Perbandaran Nilai, Rantau, Negeri Sembilan.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsan (Yakeb) Datuk Jamil Salleh berkata kejohanan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu bawah 12 tahun dan pra-sekolah itu diadakan buat julung kalinya untuk menghargai jasa dan pengorbanan bekas pemain bola sepak negara era 60-an, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat.

Beliau berkata, pemilihan Rantau selaku venue kejohanan dibuat kerana kawasan itu merupakan tempat kelahiran Allahyarham yang sinonim dengan jolokan 'Raja Bola'.

"Sebagai ahli berdaftar Yakeb, beliau (Allahyarham) begitu aktif dengan program-program anjuran Yakeb terutama yang melibatkan kerja amal.

"Perjuangan Allahyarham terhadap sukan yang diminati serta keikhlasan beliau di dalam persahabatan tiada tolok bandingnya dan nilai ini perlu dijadikan teladan dan dikenang," kata Jamil dalam kenyataan pada Selasa.

Jamil yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan berkata setiap pasukan bertanding digalak untuk membentuk pasukan yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam usaha menyemai semangat perpaduan generasi muda.

Selain kejohanan itu, Jamil berkata satu pameran khas turut diadakan bagi memaparkan koleksi peribadi Allahyarham yang dibawa khas oleh keluarganya termasuk piala kemenangan, keratan akhbar serta gambar-gambar sepanjang penglibatannya dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Allahyarham Abdul Ghani yang dilahirkan pada 23 Dis 1935 memulakan karier bola sepaknya seawal tahun 1954 dengan menyertai pasukan Selangor Rangers dan Kelab Polis Depot.

Kehebatan Allahyarham ketika berada di padang nyata dikagumi kawan dan lawan sehingga pernah ditawar beraksi dalam kelab Liga Perdana Inggeris pada 1962.

Allahyarham meninggal dunia pada 28 Sept tahun lepas di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 77 tahun akibat komplikasi selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.- BERNAMA

Artikel Lain