suria

30,000 Tiket Untuk Penyokong Pahang Dijual Mulai Rabu

KUANTAN: Sebanyak 30,000 tiket perlawanan akhir Piala Malaysia yang diperuntukkan untuk penyokong Pahang akan dijual mulai Rabu.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzzeimi Ibrahim berkata penjualan di Stadium Darul Makmur akan bermula pukul 10 pagi hingga 4 petang.

"Kita akan membuka lapan kaunter penjualan tiket di Stadium Darul Makmur bagi mengelak berlakunya kesesakan serta perkara-perkara yang tidak diingini.

"Pembukaan kaunter berkenaan juga termasuk satu kaunter penjualan tiket yang dikhaskan untuk kanak-kanak dan harga tiket yang ditetapkan untuk dewasa adalah RM40 manakala RM5 bagi kanak-kanak," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata bagi pembeli tiket yang datang dari luar daerah Kuantan, mereka hanya dibenarkan membeli 40 keping tiket sahaja untuk satu rombongan, namun sekiranya rombongan itu menunjukkan resit penyewaan bas mereka, pembelian melebihi kuantiti itu akan dipertimbangkan.

Fuzzeimi menjangkakan penjualan akan habis dalam tempoh satu jam.

Katanya bagi penyokong di luar Kuantan, mereka boleh menghubungi Persatuan Bola Sepak Daerah masing-masing yang telah dibekalkan tiket untuk dijual.

"PNBP telah mengagihkan kepada 12 persatuan daerah di seluruh Pahang yang merupakan ahli gabungan untuk jualan tiket perlawanan akhir berkenaan," katanya. Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengeluarkan sebanyak 75,000 tiket perlawanan akhir Ahad ini, masing-masing 30,000 keping tiket bagi persatuan bola sepak Pahang dan Kelantan dan 15,000 tiket lagi akan dijual di Stadium Shah Alam, Selangor selaku venue perlawanan.

Dalam pada itu katanya, PBNP juga akan berbincang dengan pasukan keselamatan untuk mendapatkan khidmat nasihat serta kawalan keselamatan ketika penjualan tiket di Stadium Darul Makmur esok.- BERNAMA

Artikel Lain