suria

Fakri Sah Beraksi Bersama Atletico Sporting Club

Ahmad Fakri Saarani. FOTO THE STAR / GLENN GUAN
Ahmad Fakri Saarani. FOTO THE STAR / GLENN GUAN
Ahmad Fakri Saarani. FOTO THE STAR / GLENN GUAN

PETALING JAYA: Penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani sah beraksi di kelab Divisyen 3 Portugal, Atletico Sporting Club selama 6 bulan selepas berakhirnya Kejohanan Piala AFF Suzuki Disember ini.

Pengesahan ini telah diumumkan oleh pengurus peribadinya, Faisal Zakariah kepada media, Khamis.

"Sebenarnya Fakri telah menerima pelawaan sejak Ogos lalu, tetapi dia agak sibuk dengan aksi Liga Malaysia.

"Fakri bukan sahaja menerima tawaran dari Divisyen 3, malah juga turut menerima pelawaan dari Divisyen 1.

"Tetapi selepas mengkaji lebih secara mendalam, kami memilih untuk menerima tawaran ini.

"Ini kerana, saya yakin peluang untuk dia bermain dalam barisan utama pasukan lebih cerah dan dalam kontrak sendiri menyatakan dia diletakkan sebagai penyerang dalam pasukan itu.

"Berbanding dengan Divisyen 1, peluangnya agak sukar. Bagi kami, apa yang lebih penting, Fakri boleh beraksi dan bukan hanya berada di bangku simpanan," jelas Faisal kepada media.

Menurut Faisal, walaupun kontrak yang ditawarkan oleh Atletico Sporting Club selama setahun, namun pihaknya bersetuju untuk tempoh enam bulan terlebih dahulu.

"Musim liga di sana sudah beraksi separuh musim dan bulan Mei depan liga akan berakhir.

"Enam bulan pertama dan tamat musim liga di sana Fakri boleh pulang ke Malaysia sementara menunggu musim baru bermula.

"Dan apabila bermulanya musim baru nanti, Fakri akan kembali ke sana," tambahnya.

Sementara itu, bagi Fakri peluang ini amat penting bagi dirinya.

"Saya memang mengidam untuk bermain di luar negara. Impian bakal menjadi kenyataan dan saya harap mampu melakukan yang terbaik.

"Saya akan belajar dan akan cuba ikuti rentak permainan mereka.

"Dalam masa sama juga, saya mahu nama Malaysia lebih dikenali di sana," jelas pemain kelahiran Kelantan ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah ajen kelab tersebut, Marco Guimaraes yang turut bertanggungjawab membawa pemain muda negara, Nazmi Faiz Mansor ke kelab S.C Beira -Mar sebelum ini.

Artikel Lain