suria

Van Pelt, Garrigus Muncul Pendahulu Bersama Kelebihan Satu Pukulan

KUALA LUMPUR: Juara bertahan Bo Van Pelt mencipta rekod lapangan sembilan bawah par 62 untuk melonjak kedudukan sebagai pendahulu bersama Robert Garrigus selepas pusingan ketiga Kejohanan Golf CIMB Classic 2012, di sini Sabtu.

Selepas tiga pusingan di The Mines Resort and Golf Club di sini, kedua-dua pemain dari Amerika Syarikat itu mengumpul 16 bawah par 197, dengan hanya memiliki kelebihan tipis satu pukulan dari rakan senegara Chris Kirk.

Kirk melonjak ke tangga kedua selepas melakarkan catatan lapan bawah par 63 pada Sabtu selepas membuka saingan dengan 69 dan 66 pukulan pada Jumaat.

Saingan pada Sabtu juga menyaksikan pemain Amerika Syarikat Jason Dufner membenam pukulan selubang (hole-in-one) di lubang ketujuh par tiga sejauh 183 meter dengan menggunakan 5 iron untuk menamatkan saingan dengan 64 pukulan.

Pukulan selubang itu adalah pertama bagi Dufner dalam penglibatannya di Jelajah PGA.

Bagaimanapun, pendahulu semalaman Garrigus hanya mampu merakamkan 69 untuk mengekalkan kedudukan pendahulu setelah mencipta catatan konsisten 64 pada dua pusingan awal sebelum ini.

Dalam pada itu, catatan terendah Van Pelt itu merupakan rekod baru lapangan apabila beliau membenam enam bawah par 29 pada sembilan lubang pertama dan seterusnya memiliki 11 bawah par sehingga lubang ke-17.

Bagaimanapun, beliau terlepas peluang mencatatkan keputusan jarang sekali iaitu 12 bawah par 59 apabila melakukan bogey berganda pada lubang ke-18.

Hanya lima pemain sahaja telah melakukan 59 pukulan dalam kejohanan rasmi Jelajah PGA dengan kali terakhir oleh pemain Australia Stuart Appleby, 41, pada Kejohanan Greenbrier Classic 2010 di Amerika Syarikat.

Sekiranya Van Pelt mencipta 59 pukulan di sini, maka ia tidak akan dikira sebagai statistik rasmi pemain itu kerana CIMB Classic, yang diiktiraf bersama oleh Jelajah Asia, belum menjadi Jelajah PGA sepenuhnya sehingga tahun depan.

"Saya melakukan pukulan awal yang terbaik sekali untuk ke-18 tetapi malangnya bola meleret sedikit jauh di atas green. Harap prestasi pada 17 lubang hari ini dapat diteruskan esok," kata pemain berusia 37 tahun itu.

Dalam pada itu, Garrigus memulakan cabaran pusingan ketiga dengan dua bogey pada dua lubang pertama tetapi berjaya bangkit semula selepas itu.

"Saya sentiasa sabar dan tidak pernah menjadi panik atau emosi. Hanya beberapa hayunan silap dan pukulan putt. Selain itu, saya yakin dan bersedia untuk pusingan akhir esok," katanya.

Dalam pada itu, pemain nombor dua dunia, Tiger Woods memulakan pusingan ketiga secara agresif dengan lima birdie pada lapan lubang pertama tetapi memperoleh tiga bogey dan bogey berganda pada sembilan lubang kedua untuk 69 pukulan.

Woods kini terikat di tangga ke-10 bersama bekas juara 2010, Ben Crane, Kevin Na, Jeff Overton, kesemua dari Amerika Syarikat dan pemain India, Gaganjeet Bhullar, dengan lima pukulan di belakang pendahulu bersama.

Dalam pada itu, wakil negara Danny Chia menduduki tempat ke-45 selepas malakarkan 73 pukulan, untuk jumlah keseluruhan satu di atas par 214.

Manakala Shaaban Hussin melakarkan dua bawah par 70 untuk menduduki tempat kedua terakhir daripada 48 pemain dengan keseluruhan 217 pukulan.

Chia berkata, pada pusingan akhir esok, beliau akan mengambil pendekatan mudah dengan harapan untuk mempertingkatkan kedudukannya.

Shaaban pula, yang masih dihantui kecederaan bahu kiri, berkata beliau menghadapi kesukaran melakukan pukulan jauh ke green tetapi pukulan puttnya adalah baik.

Kejohanan edisi ketiga itu menawarkan hadiah wang tunai US$6.1 juta (RM18.54 juta). - BERNAMA

Artikel Lain