suria

Kejohanan Antara Regu Piala MB Dapat Sambutan

KUALA TERENGGANU: Kejohanan Sepak Takraw antara regu merebut Piala Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mendapat sambutan apabila 46 regu akan berentap pada 2-3 November ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Mohd Shapian Ali berkata, setelah permohonan ditutup pada Khamis, daripada keseluruhan pasukan, 26 regu adalah dari luar Terengganu.

"Ini julung kali kejohanan ini diperkenalkan dan kita tidak jangka sambutan pasukan dari luar Terengganu begitu hebat," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Mohd Shapian berkata, setakat ini pasukan luar dari Terengganu seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Beliau berkata, hadiah yang ditawarkan juga menarik iaitu RM5,000 untuk juara, naib juara RM3,000, tempat ketiga/keempat RM1,000 manakala pasukan yang kalah di peringkat suku akhir masing-masing menerima RM200.

Kejohanan tersebut akan diadakan di Stadium Negeri di mana pada pusingan pertama ia dijalankan secara liga dan secara kalah mati pada pusingan kedua.

Katanya, pengundian kumpulan akan dibuat di stadium yang sama pada Ahad dan beliau berharap pengurus-pengurus pasukan akan hadir untuk membuat undian.

Beliau berkata, kejohanan anjuran kerajaan negeri itu merupakan aktiviti PSTNT sebelum tirai 2012 dilabuhkan.

"Kita juga akan melihat mana-mana pemain Terengganu yang berbakat untuk dipilih bagi persediaan menghadapi Sukma di Kuala Lumpur tahun depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain