suria

Piala FA: T-Team Turun Sebagai Underdog Hadapi Johor FC Sabtu Ini

KUALA TERENGGANU: T-Team akan turun sebagai pasukan bukan pilihan apabila bertemu Johor FC dalam perlawanan saingan kalah mati Piala FA di Stadium Pasir Gudang, Johor yang membuka tirai Sabtu ini.

Jurulatih pasukan itu Yunus Alif enggan mendabik dada dengan keupayaan anak buahnya dan menganggap Johor FC merupakan pasukan hebat selain mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Kita hormati dan tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan itu terutamanya dalam perlawanan kalah mati ini," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Berharap anak buahnya memenangi perlawanan pertama itu bagi menghidupkan peluang dalam perlawanan seterusnya, beliau berkata T-Team akan turun habis-habisan dangan barisan pemain berpengalaman yang diketuai bekas penjaga gol kebangsaan Syamsuri Mustafa.

Yunus akan mempertaruhkan Mohd Faiz Subri, peledak berbisa untuk mengepalai jentera serangan dan dibantu bekas pemain Selangor Fadli Saari.

Mohd Faiz menjaringkan dua gol ketika T-Team bertemu Felda United di Stadium Hang Jebat Melaka Selasa lepas.

Yunus yakin prestasi pasukan T-Team kini dalam keadaan memberangsangkan dan diharapkan momentum positif itu terus dikekalkan ketika menentang Johor FC nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zulfahmi Duduki Tangga 10 Teratas

Artikel Lain