Fatehah, Josiah Raih Emas Terakhir Acara Trek - Sukan | mStar

Fatehah, Josiah Raih Emas Terakhir Acara Trek

KUALA LUMPUR: Malaysia menutup acara trek Kejohanan Berbasikal Asia ke-32 dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia ke-19 dengan menambah dua pingat emas dan dua perak.

Pingat emas pada Ahad diraih Fatehah Mustapa dan Josiah Ng, masing-masing dalam acara Keirin elit wanita dan lelaki, manakala pingat perak disumbang Mohd Azizulhasni Awang (elit lelaki) dan Ummi Hamimah Mohamad (remaja perempuan) dalam acara yang sama.

Fatehah, 23, mengukir sejarah tersendiri apabila kejayaan meraih pingat emas pada Ahad menjadikan beliau sebagai pelumba wanita Malaysia yang berjaya meraih pingat emas di Kejohanan Berbasikal Asia.

"Saya gembira dapat pingat emas acara ini. Ia satu kenangan yang tidak mudah untuk saya lupakan. Hari ini, saya betul-betul puas hati. Selalunya hanya pingat perak atau gangsa. Sudah dua tahun saya tidak dapat pingat dalam acara keirin.

"Masa undian tadi (undian kedudukan permulaan sebelum memulakan perlumbaan) saya di belakang pelumba Hong Kong dan saya memang hendak berada belakang dia sebab dia mempunyai kayuhan yang paling laju. Pada selekoh terakhir, baru saya terus memecut," katanya.

Pingat perak acara itu dimenangi Xu Yulei dari China dan Lee Wai Sze dari Hong Kong mendapat pingat gangsa.

Ditanya mengenai kelayakan ke Sukan Olimpik London, Fatehah berkata kejayaan hari ini (Ahad) mungkin membolehkan beliau beraksi buat pertama kali di temasya sukan terbesar dunia itu.

"Buat masa ini, saya berada di belakang pelumba China (Guo Shuang) dan dikedudukan ketiga ialah pelumba Hong Kong (Lee Wai Sze). Jarak mata saya dengan Hong Kong sudah jauh ditambah dengan hari ini tidak tahulah berapa," katanya.

Bagi menghadapi Kejohanan Dunia di London minggu depan, Fatehah tidak mahu terlalu yakin kerana lebih banyak negara yang akan menyertainya.

"Saya tidak mahu terlalu yakin. Bagi saya, biar dari bawah dan sasaran saya ialah untuk melayakkan diri ke peringkat akhir," katanya.

Selain meraih pingat emas, Fatehah turut meraih satu perak melalui acara pecut (sprint) dan satu gangsa dalam acara 500m ujian masa.

Sementara itu pelumba veteran Josiah, yang membuat penampilan pertama di tempat sendiri lebih daripada sedekad, menggembirakan penyokong tempatan apabila menamatkan perlumbaan untuk memberi kedudukan 1-2 kepada Malaysia dengan Mohd Azizulhasni merangkul perak.

Pingat gangsa dimenangi pelumba Jepun, Yudai Nitta.

"Selagi kami mencapai keputusan 1-2, kami gembira. Saya tidak pernah melakukan yang terbaik di ACC. Ini pingat emas pertama saya di ACC.

"Ada dua sebab kemenangan ini. Pertama kerana kami mempunyai pasukan yang terbaik dan yang kedua disebabkan kehadiran Azizul (Azizulhasni) yang memberi inspirasi kepada saya," katanya yang merangkul emas pada kejohanan Komanwel dan perak pada kejohanan Asia.

Selepas menamatkan saingan dalam acara trek, Malaysia setakat ini berada di tempat ketiga keseluruhan dengan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa, manakala Hong Kong mendahului dengan 5-3-4 dan China dengan 4-2-2.

Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Remaja Asia akan diteruskan dengan acara perlumbaan lebuh raya yang akan bermula Selasa ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

Artikel Lain