suria

18 Pemain Dan Seorang Jurulatih Terbabit Dalam Skandal Rasuah Musim Lepas

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengenalpasti 18 pemain dan seorang jurulatih yang didapati terbabit dalam skandal rasuah pada Liga Malaysia musim lepas.

Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata pemain dan jurulatih berkenaan akan dikenakan hukuman penggantungan antara dua hingga lima tahun.

"Atas pandangan dan nasihat Jawatankuasa Disiplin FAM, pemain dan jurulatih berkenaan akan diambil tindakan dan senarai nama akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM di sini, Sabtu.

"Ini membuktikan keseriusan FAM berkaitan dengan perilaku beberapa pemain dan pegawai dan berharap ia memberi pengajaran kepada pemain dan pegawai yang melibatkan diri dalam kejohanan kelolaan FAM," katanya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata pemain tersebut melibatkan enam pemain dari pasukan Negeri Sembilan dan seorang jurulatih, pasukan T-Team (enam), dan pasukan MP Muar (enam).

Terdahulu Tengku Abdullah telah menyampaikan kepada dua badan kebajikan NCWO Negeri Sembilan dan Yayasan Kemiskinan Kelantan, iaitu masing-masing menerima cek bernilai RM50,000 hasil kutipan tiket wang Piala Sumbangsih 2012.

Dalam perkembangan lain, Tengku Abdullah berkata FAM telah melantik Penolong Setiausaha Agung FAM, Kelly Sathiraj bagi memantau pembayaran gaji pemain dan pegawai oleh persatuan negeri yang berkuatkuasa hari ini.

"Jika terdapat pihak yang tidak membuat pembayaran gaji pada bulan pertama, bulan kedua kita akan beri surat amaran dan bulan ketiga automatik, pasukan tidak dibenarkan bermain dalam pertandingan seterusnya digugurkan dalam liga berkenaan," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain