suria

ATM Rampas Tangga Teratas Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kembali menerajui persada Liga Perdana daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah mengalahkan Pahang 3-2 pada perlawanan tunggal liga di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam Jumaat.

ATM yang dibimbing jurulatih B. Sathianathan membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti oleh Bruno Sebastien Martelotto pada minit kesembilan setelah Marlon Alex James dijatuhkan pemain lawan.

Pahang tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan Mohd Saiful Nizam Miswan pada minit ke-14 untuk menewaskan penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun.

Lima minit kemudian, Marlon menghasilkan gol kedua buat ATM selepas berlaku keadaan kelam kabut di depan gawang Pahang sebelum Mohd Azamuddin Akil menjaringkan gol penyamaan untuk skuad Tok Gajah menerusi larian solo pada minit ke-30.

Skuad bimbingan Dollah Salleh itu kemudian terpaksa bermain dengan 10 orang selepas pengadil Mohd Amirul Izwan Yaacob melayangkan kad merah kepada Mohd Saiful Nizam kerana mengasari kapten ATM, Hairuddin Omar pada minit ke-74.

Bekas pemain Selangor PKNS Christie Jayaseelan muncul wira ATM apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Pahang terus dirundung malang apabila pemain pertahanannya, Mohd Shahrizan Salleh dilayangkan kad merah pada minit ke-90 kerana memegang bola.

Kemenangan tersebut membolehkan ATM mengumpul 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan manakala Pahang, yang sebelum ini menduduki tangga kedua, turun ke tangga ketiga dengan 10 mata selepas lima perlawanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain