suria

City Berhadapan Dengan Krisis Penyerang

MANCHESTER: Manchester City bakal berhadapan dengan krisis di bahagian hadapan sekiranya Mario Balotelli yang secara rasminya didakwa dengan sengaja menyepak kepala pemain tengah Tottenham Hotspurs, Scott Parker dalam perlawanan liga Ahad lalu didapati bersalah dan dihukum gantung empat perlawanan.

Seandainya ini berlaku, Mario akan terlepas perlawanan kedua separuh akhir Piala Carling dan tiga lagi perlawanan liga.

Penyerang warga Itali itu kelihatan menyepak dari belakang Scott Parker yang telah pun jatuh dan masih terbaring di atas padang selepas kedua-dua pemain itu berlaga.

Persatuan Bolasepak Inggeris kini sedang meneliti laporan rasmi yang dibuat oleh pengadil Howard Webb yang mengakui bahawa dia telah terlepas pandang insiden tersebut.

Jika tidak kata Webb, dia tidak teragak-agak untuk melayangkan kad merah.

Balotelli pula mempunyai tempoh sehingga jam 6 petang Rabu untuk memberi respon ke atas perbuatannya itu.

Jika pemain berusia 21 tahun itu menerima dakwaan rasmi yang dibuat oleh persatuan bolasepak, dia secara automatik akan dihukum gantung empat perlawanan memandangkan pada awal musim ini telah pun menerima kad merah dan dua kad kuning.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Carling menentang Liverpool Rabu ini amat getir buat City kerana mereka tewas 1-0 dalam perlawanan pertama. Apatah lagi dalam perlawanan kedua mereka akan bermain di Anfield, Liverpool.

Manakala dalam tiga perlawanan liga akan datang mereka akan menentang pasukan-pasukan yang sedang menyaksikan prestasi tinggi buat masa ini iaitu Everton, Fulham dan Aston Villa.

Kehilangan khidmat Balotelli untuk empat perlawanan tersebut bermakna City bakal berhadapan dengan krisis di bahagian serangan mereka.

Dengan Carlos Tevez tidak lagi menjadi sebahagian daripada perancangan Roberto Mancini, pengurus itu kini hanya mempunyai dua orang penyerang yang bebas dari kecederaan sahaja iaitu Sergio Agüero dan Edin Dzeko.

City juga masih kehilangan khidmat kapten pasukan Vincent Kompany yang juga sedang menjalani hukuman gantung perlawanan manakala pasangan adik beradik Yaya dan Kolo Touré kini sedang berada di Senegal untuk perlawanan pusingan akhir Piala Negara-negara Afrika.

Sejak menyertai City dari Inter Milan pada Ogos 2010, Balotelli telah pun menerima tiga kad merah dan berkelakuan pelik ketika di luar padang termasuklah menyalakan bunga api di dalam bilik mandi sehingga apartmennya terbakar dan pernah dirakamkan sedang melanggani pelacur.

Tetapi penyerang berbakat itu selalu dilindungi dan dipertahankan oleh rakan-rakan sepasukannya kerana kehadirannya di atas padang memberi pengaruh yang besar ke atas corak perlawanan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain