suria

Chong Wei Masih Harapkan Bimbingan Misbun

SHAH ALAM: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei mengakui masih mengharapkan bimbingan bekas jurulatih Datuk Misbun Sidek dalam menempuhi saat getir lapan bulan menjelang temasya Olimpik London.

"Kalau saya nak pun, saya tak boleh buat keputusan. Saya terikat dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia).BAM ada pengurus, yang buat keputusan.Saya ikut saja," katanya menjawab soalan media selepas majlis pelantikan beliau sebagai duta jenama 'Cafe 99 Ipoh White Coffee' di sini, Rabu.

Misbun meletakkan jawatan sebagai jurulatih kebangsaan hujung tahun lepas setelah lapan tahun berkhidmat dengan BAM dan Chong Wei kini di bawah jurulatih Tey Siu Bock dengan dibantu Rashid Sidek dan Hendrawan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata tempoh persediaan lapan bulan sebelum Olimpik London pada Julai depan sangat penting, dan beliau mengalu-alukan sebarang bantuan daripada sesiapa saja.

Chong Wei berharap semua pihak dapat berkerjasama dalam membantunya berlatih demi melaksanakan hasrat membawa pulang emas pertama Olimpik buat Malaysia.

"Tapi apa pun, saya tahu, yang penting itu diri sendiri. Saya sendiri kena fokus dan siapkan diri sendiri," katanya yang mengakui berasa tertekan dengan harapan tinggi semua pihak.

Beliau berkata, berbanding pesaing utamanya pemain China Lin Dan yang mempunyai sokongan daripada pemain-pemain muda seperti Chen Long dan Chen Jin, beliau terpaksa menanggung beban meraih emas Olimpik seorang diri.

"Tapi OK. Ini Olimpik terakhir saya. Saya tak kisah terhadap tekanan. Saya anggap ini satu tekanan dan saya harap media dan semua yang lain sokong saya," katanya.

Mengimbas perjalanan karier beliau sepanjang tahun ini, Chong Wei berkata pengalaman paling pahit untuknya adalah ketika terlepas gelaran dunia di London Ogos lepas.

"Paling 'sakit hati' adalah masa di Kejohanan Dunia. Masih rasa perasaan rendah sampai sekarang.

"Tapi sempena tahun baru ini saya nak lupakan semua itu dan mula semula," katanya yang akan menyertai Kejohanan Terbuka Korea awal tahun depan dan selepas itu Terbuka Malaysia pada 10 hingga 15 Jan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain