suria

Dr Lim Muncuk Atlet Tertua Sukan SEA

PALEMBANG: Penggemar permainan daun terup 'contract bridge', Datuk Dr Lim Teong Wah dari Malaysia yang berusia 79 tahun merupakan atlet tertua pada temasya Sukan SEA ke-26 di sini.

'Contract bridge' merupakan antara enam sukan baru pada Sukan SEA Indonesia 2011 selain acara paragliding, sukan roller, shorinji kempo, vovinam dan mendaki.

Dr Lim bersama tiga lagi rakan berusia 50 tahun ke atas David Law, Tan Su Beng dan Tan Sze Guan dari Persatuan Contract Bridge Malaysia (MCBA) merupakan atlet pasukan negara dalam acara itu di sini.

Kuartet berkenaan akan bersaing dalam kategori berpasukan lelaki bersama Thailand, Filipina, Singapura dan tuan rumah Indonesia.

"Terdapat pemain daun terup yang mahir di Malaysia tetapi bukan semua berminat mengambil bahagian dalam temasya seperti ini sehinggakan kita tidak dapat menampilkan sebuah pasukan wanita," kata Dr Lim kepada Bernama di sini, Sabtu.

Menurut rakan sepasukan, Sze Guan, 50, Malaysia mempunyai peluang untuk merangkul sebutir pingat tetapi sukar untuk mensasarkan pingat emas berikutan kehadiran pemain profesional dalam pasukan tuan rumah, Indonesia.

Acara itu akan dijalankan secara 'round-robin' dan pemenang pingat akan ditentukan dengan jumlah mata yang terkumpul. -BERNAMA

Artikel Lain