suria

Terengganu Subsidi 50 Peratus Harga Tiket Piala Malaysia

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu pada Selasa mengumumkan pemberian subsidi sebanyak 50 peratus terhadap 30,000 keping tiket perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia antara Terengganu menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata dengan pemberian subsidi hampir RM750,000 itu, penyokong bola sepak pasukan Terengganu hanya perlu membayar RM25 sekeping tiket berbanding harga jualan yang diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam iaitu RM50.

"Ini sebagai satu penghormatan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap sokongan padu yang ditunjukkan oleh pasukan bola sepak Terengganu selama ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Che Mat berkata ia juga menunjukkan hubungan baik di antara kerajaan negeri dan PBSNT selain menghormati kejayaan Terengganu melangkah ke pertandingan akhir piala berprestij itu.

Katanya ini merupakan kali kedua Terengganu memburu kejuaraan Piala Malaysia selepas pertama kali menjadi juara 10 tahun lepas.

Mengulas lanjut Che Mat berkata, tiket-tiket tersebut boleh ditempah dengan PBSNT mulai hari ini dan pengagihan juga akan dibuat melalui wakil-wakil rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Setiap DUN dibekalkan dengan 500 keping tiket, peminat atau penyokong yang hendak menyaksikan perlawanan akhir itu di Stadium Shah Alam bolehlah berhubung dengan wakil rakyat masing-masing untuk mendapatkan tiket tersebut," katanya.

Che Mat berkata setiap peminat hanya dibenarkan membeli tiket 10 keping seorang sahaja.

Kesemua tiket itu dijangka akan tiba di Terengganu esok dan penyokong yang telahpun membuat tempahan dan membayar RM50 untuk tiket itu akan dipulangkan sebahagian wang mereka semasa mengambil tiket berkenaan.

Selain di pejabat DUN tiket juga boleh diperolehi di pejabat PBSNT di belakang Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada waktu pejabat mulai Rabu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain