suria

Chong Wei Rayu Sifu Buat Keputusan Segera

PUTRAJAYA: Pemain nombor satu badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei merayu agar jurulatihnya Datuk Misbun Sidek segera membuat keputusan sama ada mahu menyambung kontrak sebagai jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau yang menjuarai perseorangan All England Ahad lepas dengan menewaskan jaguh China Lin Dan, masih mengharapkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada sifunya itu untuk menghadapi kejohanan-kejohanan seterusnya.

"Saya memang perlukan Misbun, namun saya tidak mahu memberi tekanan kepada beliau. Beliau mungkin mempunyai masalah peribadi namun saya berharap agar Misbun dapat segera membuat keputusan dan kembali membimbing kami," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Pemain berusia 29 tahun ini yakin Misbun akan kembali membimbingnya.

Misbun mengambil keputusan meletak jawatan kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan pengurusan BAM.

Walaupun pelbagai pihak telah menemui Misbun untuk membincangkan tentang hasratnya meletak jawatan, namun sehingga kini tiada kata putus daripada beliau.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain