suria

Dua Atlet Jalan Kaki Layak Ke Sukan Sea Indonesia

KUALA LUMPUR: Dua atlet lelaki jalan kaki negara, Lo Chong Siang dan Teoh Booh Lim, layak ke Sukan SEA ke-26 di Indonesia, November ini, selepas melepasi masa kelayakan yang ditetapkan.

Kedua-dua atlet tersebut berjaya melepasi masa kelayakan iaitu satu jam 30 minit pada Kejohanan 20 Kilometer Jalan Kaki Asia di Nomi City, Jepun, hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung ketika Jepun dirundung duka akibat bencana gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu, Lo dan Teoh masing-masing mencatatkan masa 1'28.03s dan 1'29.24s.

Bagaimanapun, seorang lagi atlet lelaki T.Dhiban Raj dan atlet wanita Norliana Mohd Rusni gagal melepasi masa kelayakan dengan masing-masing mencatatkan masa 1'36.25s dan 1'51.33s.

"Walaupun terpaksa beraksi di negara yang dilanda malapetaka, atlet negara kita tetap cekal dan bersemangat untuk menamatkan perlumbaan dengan catatan yang boleh dibanggakan," kata Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim, Ahad.

Katanya walaupun Norliana gagal melepasi masa kelayakan 1'45.20s dalam kategori wanita, namun dia mempunyai peluang untuk memperbaiki catatan masa pada kejohanan akan datang.

Skuad negara yang diketuai oleh jurulatih V. Subaramaniam berada dalam keadaan selamat kerana tempat penginapan mereka di Komatsu, iaitu kira-kira 700 kilometer dari kawasan yang dilanda gempa bumi dan tsunami di wilayah timur laut negara itu.

Karim berkata skuad negara itu dijadualkan pulang ke tanah air esok (Isnin).

"Kejayaan di Jepun adalah hasil latihan selama tiga minggu atlet jalan kaki di Kompleks Sukan Ranau, Sabah, dan ini membuktikan bahawa Ranau merupakan lokasi sesuai untuk atlet olahraga berlatih," katanya.

Katanya KOAM akan terus menjadikan Kompleks Sukan Ranau sebagai pusat latihan bagi semua atlet negara sebelum beraksi di kejohanan luar negara.-BERNAMA

Artikel Lain