suria

Terbuka AS: Djokovic, Wozniacki Mara Ke Separuh Akhir

Djokovic berada pada tahap terbaik untuk menjuarai Terbuka AS.
Djokovic berada pada tahap terbaik untuk menjuarai Terbuka AS.
Djokovic berada pada tahap terbaik untuk menjuarai Terbuka AS.

NEW YORK: Pemain pilihan ketiga Novak Djokovic menundukkan Gael Monfils 7-6(2), 6-1, 6-2 pada Rabu untuk melangkah ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat tahun keempat berturut-turut.

Djokovic akan bertemu sama ada pemain nombor dua dunia, Roger Federer dan Robin Soderling dari Sweden yang akan berentap pada aksi suku akhir.

Juara Terbuka Australia 2008 itu memulakan permainan dengan agresif dan memenangi 40 daripada 95 mata di jaring.

"Ia membuktikan saya sudah menunjukkan peningkatan. Anda akan memperoleh banyak pengalaman apabila dalam suasana berbeza," katanya.

Monfils turut melakukan pukulan kencang tetapi kelincahan Djokovic gagal disekat pemain pilihan ke-17 itu.

Begitupun, Monfils memberitahu dia turut sukar melakukan pukulan kerana angin yang kuat.

"Saya hilang arah. Tidak boleh melakukan pukulan servis dan forehand," jelas Monfils.

Hanya Federer yang berupaya menjinakkan Djokovic pada tiga perlawanan terdahulu Terbuka AS.

Federer dan Soderling pernah bertemu 13 kali sebelum ini dan pemain Switzerland itu memenangi 12 pertemuan di antara mereka.

Namun Soderling mencatat lebih kemenangan dalam pertemuan terbaru mereka iaitu di suku akhir Terbuka Perancis. Kejayaan itu sekaligus menamatkan kemaraan Federer ke separuh akhir dalam 23 pertemuan Grand Slam berturut-turut.

Sementara itu, Caroline Wozniacki akan menentang Vera Zvonareva dari Rusia pada aksi separuh akhir Terbuka AS selepas kedua-dua melepasi lapan rintangan terdahulu.

Wozniacki, 20, yang dinobatkan selaku naib juara tahun lalu dan menjadi pemain pilihan utama kejuaraan bagi kategori wanita tahun ini menewaskan Dominika Cibulkova dari Slovakia 6-2, 7-5.

Zvonareva yang mara ke final Wimbledon pada Julai lalu pula menundukkan pemain Estonia, Kaia Kanepi 6-3, 7-5.

Artikel Sebelum

Walcott Berehat Enam Minggu

Artikel Lain