suria

MB Terengganu Kesal Kecaman PKBM

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahamd Said melahirkan rasa kesal terhadap kecaman yang dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berhubung langkah negeri itu menubuhkan pasukan basikal benuanya.

Ahmad berkata PKBM tidak sepatutnya meluahkan kecaman mereka melalui media kerana ada saluran lain yang boleh diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah.

"Kita berunding di peringkat negeri, kalau mereka (PKBM) tidak bersetuju beritahulah kita melalui badan gabungan mereka di Terengganu. Kalau mereka (PKBM) kata tidak boleh tubuh persatuan dan lebih baik tubuh kelab, tidak ada masalah, kita ikut saja. "Yang penting kita mahu satu pasukan yang boleh melibatkan pelumba Terengganu dalam Le Tour de Langkawi (LTdL)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini Rabu.

Akhbar melaporkan tindakan Terengganu menubuhkan pasukan basikal benua telah menerima kecaman daripada Presiden PKBM Abu Samah Wahab, antara lain kerana ia tidak mengikut prosedur yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Abu Samah juga mendakwa Terengganu mungkin terlupa kerana secara tidak langsung turut membelakang badan induk sukan berbasikal negara.

Ahmad berkata langkah PKBM mengecam kerajaan negeri menerusi media dilihat boleh mengeruhkan suasana.

Beliau berkata, Terengganu menubuhkan persatuan basikal profesional itu adalah semata-mata inginkan sebuah pasukan dari Terengganu turut menyertai perlumbaan antarabangsa LTdL serta acara-acara peringkat antarabangsa yang lain kerana Terenggnau mempunyai ramai pelumba basikal berbakat.

"Sepatutnya PKBM menyambut baik rancangan Terengganu itu bagi meningkatkan sukan lumba basikal di negara ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain