suria

Skuad Badminton Perlu Kerja Lebih Keras: Zolkples

Datuk Zolkples menyerahkan jalur gemilang kepada Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) di Gimnasium 2, Bukit Jalil, Isnin. Foto THE STAR/SAMUEL ONG
Datuk Zolkples menyerahkan jalur gemilang kepada Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) di Gimnasium 2, Bukit Jalil, Isnin. Foto THE STAR/SAMUEL ONG
Datuk Zolkples menyerahkan jalur gemilang kepada Kelab Sepak Takraw Media Malaysia (Keris) di Gimnasium 2, Bukit Jalil, Isnin. Foto THE STAR/SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: "Kita perlu kerja kuat lagi. Kita masih belum beraksi pada tahap terbaik." Demikian kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong ketika mengulas mengenai kegagalan pasangan beregu badminton negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong untuk mencipta sejarah pada Kejohanan Badminton Dunia.

Pada aksi akhir di Stadium Pierre de Coubertin, Paris, Perancis, malam Ahad, Kien Keat/Boon Heong tinggal selangkah untuk bergelar juara tetapi impian mereka musnah di tangan beregu pilihan kelima, Cai Yun dan Fu Haifeng 21-18, 18-21, 14-21.

Menurut Zolkples, resipi kejayaan setiap pemain bukan bergantung kepada ranking dunia semata-mata tetapi persembahan yang ditonjolkan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan pemain.

"Kalau kita lihat pasangan beregu yang diturunkan terdiri daripada kelompok terbaik dunia tetapi standard permainan pada hari itu yang akan menentukan kejayaan anda. Jika anda beraksi dengan baik, anda akan menang," katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada Kelab Sepak Takraw Media yang akan berlepas ke Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Antarabangsa di Strasbourg, Perancis, Selasa.

Walaupun sebelum ini, beliau menaruh harapan untuk melihat pasangan beregu nombor satu dunia itu melakukan kejutan, Zolkples menyifatkan pencapaian tersebut sebagai memberangsangkan memandangkan mereka berjaya memperbaiki rekod terdahulu.

China ternyata masih lawan sukar apabila mereka menamatkan saingan Kejohanan Dunia tahun ini dengan merangkul kesemua lima acara yang dipertandingkan.

Di sebalik kegagalan itu, Zolkples berkata skuad badminton negara berada pada landasan tepat sebelum bermulanya kejohanan Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China.

Namun, apa yang membimbang beliau adalah ketiadaan sandaran utama beregu wanita, Wong Pei Tty yang masih bergelut dengan kecederaan.

"Pei Tty tidak akan pulih sehingga hujung tahun ini. Jadi ketiadaannya sedikit sebanyak menjejaskan peluang negara untuk merangkul pingat emas dalam acara beregu wanita. Jadi kita akan mencari alternatif lain untuk memperkukuhkan pasukan terutamanya pada Sukan Komanwel kerana badminton sentiasa dalam perancangan kita," jelasnya.

Mengulas mengenai persembahan pemain peseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, Zolkples tidak mahu memberi sebarang komen sebaliknya akan mengenal pasti apa sebenar yang berlaku sekembalinya beliau ke tanah air.

"Saya pernah bagi komen mengenai tindakannya untuk tidak menyertai rakan sepasukannya berlatih di Universiti of Bath di London. Bagi saya ia tidak menjadi masalah. Walaupun Chong Wei mengambil keputusan untuk berlatih di sini, dia masih berupaya meneruskan penguasaannya," katanya.

Selepas kegagalan itu, Zolkples memberitahu Chong Wei yang menjadi sandaran utama skuad badminton negara untuk menamatkan kemarau kejuaraan pada Kejohanan Dunia kini mahu memberi perhatian penuh terhadap aksinya di Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain