suria

Anderson Terselamat Dari Kemalangan Ngeri

PEMAIN tengah Manchester United, Anderson (gambar) hanya mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan pada awal pagi di Portugal, lapor media tempatan, Ahad.

Menurut saksi yang dipetik Jornal de Noticias sebagai berkata, kereta sports yang dipandu pemain kelahiran Brazil itu hilang kawalan di sebatang jalan raya berdekatan Braga di utara Portugal.

Kereta itu kemudiannya melanggar tembok sebelum terbakar.

"Saya menjangkakan dia maut. Abang saya menariknya keluar dari kereta itu dan cuba menghentikan api sebelum kereta itu terbakar sepenuhnya," kata seorang saksi kepada akhbar itu.

Kereta itu hanya memiliki dua tempat duduk tetapi terdapat dua penumpang lain di dalamnya.

Menurut polis, dua penumpang itu dipercayai seorang wanita dan lelaki Brazil.

Ketiga-tiga mangsa dibenarkan keluar dari hospital pada pagi Sabtu lalu kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Polis mendapati mereka baru saja pulang dari kelab malam di Braga sebelum insiden itu berlaku.

Akhbar itu turut memetik sumber di Gestifute sebagai berkata, Anderson akan kembali dengan segera ke Old Trafford untuk memulihkan kecederaan lutut yang diperolehinya sejak Februari lalu.

Setakat ini belum diketahui sama ada pemain itu akan dikenakan tindakan berhubung insiden terbabit.

Pemain berusia 22 tahun itu pernah beraksi bersama Porto sebelum berhijrah ke United pada 2007.

Artikel Lain