suria

Felda United Gagal Kutip Tiga Mata

KUALA LUMPUR: Felda United gagal mengutip tiga mata penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.

Keputusan seri itu bagaimanapun gagal menggugat Felda United yang kini unggul di tangga teratas dengan 35 mata.

Selangor PKNS pula merampas tempat kedua liga daripada Sabah dengan 27 mata apabila menewaskan MP Muar 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Kedua-dua gol berkenaan dijaringkan pada separuh masa kedua melalui Mohd Zamri Hassan pada minit ke-50 dan Fitri Omar pada minit ke-55 untuk membolehkan anak-anak buah Abdul Rahman Ibrahim mengutip tiga mata.

Shahzan Muda pula yang beraksi di Stadium Darulmakmur gagal mengunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 2-1 di tangan Melaka walaupun mendahului pada minit ke-9 melalui Mohd Fauzi Abd Kadar.

Kelebihan tersebut gagal dipertahankan oleh Shahzan Muda apabila Melaka bangkit melalui jaringan Mohd Hazeman Ab. Karim pada minit ke-52 sebelum pemain terbabit menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-58 untuk gol kemenangan.

Nasib sama juga menimpa PDRM yang beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah tewas 2-1 kepada Sarawak.

Pelawat membuka jaringan pada minit ke-23 melalui Mohd Fadly Kassim sebelum disamakan Mohd Fauzi Majid pada minit ke-53.

Jaringan itu bagaimanapun tidak bertahan hingga ke wisel penamat apabila Mohd Dzulazlan Ibrahim menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71 untuk pelawat meraih tiga mata.

Harimau Muda pula mencatatkan keputusan seri 4-4 dengan ATM pada perlawanan di Stadium Hang Tuah, Melaka. -BERNAMA

Artikel Lain