suria

Empat Peninju Sukma Terengganu Sertai Kejohanan Jemputan Aceh

KUALA TERENGGANU: Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) memilih empat petinju Sukan Malaysia (SUKMA) negeri untuk menyertai Kejohanan Kejohanan Jemputan Aceh, Sumatera, Indonesia, mulai Rabu depan.

Setiausaha PTAT Razali Mamat berkata, petinju tersebut adalah Mohd Hassan Salman Sahari dalam kategori 51kg, Wan Mohd Ridzuan Wan Aziz (57kg), Mohd Farid Zahari (60kg) dan Tengku Nasaruddin Tengku Yeng (69kg).

"Petinju yang dipilih ke Aceh merupakan atlet sandaran pingat pada SUKMA di Melaka Jun ini," katanya di sini hari ini.

Razali berkata, Aceh menganjurkan kejohanan tiga hari itu sebagai persiapan Indonesia untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA tahun depan.

Penyertaan Terengganu pada kejohanan jemputan itu antara lain untuk menguji persiapan petinju negeri sebelum menghadapi SUKMA nanti, katanya.

Beliau berkata, sekembali dari Aceh, PTAT akan membawa keseluruhan lapan petinju SUKMA Terengganu berlatih di Pusat Latihan Tinju Thailand di Korat, Bangkok dari 18 hingga 30 Mei.

Selepas Bangkok, skuad tinju negeri itu akan mengikuti latihan fasa akhir iaitu memasuki Kem SUKMA di Universiti Darul Iman (UDM), Gong Badak, dari 1 hingga 6 Jun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain