suria

Hafiz Layak Ke Pusingan Ketiga Kejohanan Badminton Asia

NEW DELHI: Bekas juara All-England Muhammad Hafiz Hashim layak ke pusingan ketiga saingan perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Asia Yonex-Sunrise 2010 di sini hari ini.

Dalam saingan hari ini, Hafiz beraksi dua kali dan berjaya menundukkan lawan-lawan yang tidak dikenali.

Dalam perlawanan sebelah pagi, Hafiz bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan pemain Thailand Pakkawat Vilailak 19-21, 21-9 dan 21-6.

Perlawanan kedua menentang pemain Korea Selatan Choi Ho Jin juga menyaksikan pemain negara itu, yang diletakkan sebagai pilihan ke-10, terpaksa bertarung dalam tiga set sebelum menang 21-15, 19-21 dan 21-11.

Esok, Hafiz, yang merupakan naib juara Terbuka India 2009, akan menentang pemain Vietnam Ngyen Tien Minh, pilihan keempat kejohanan.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain nombor satu negara Wong Mew Choo, yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan, memulakan kempennya dengan menundukkan pemain Jepun Hirayama Yu 21-12, 21-10.

Seorang lagi pemain negara Julia Wong Pei Xian menundukkan Trupti Murgunde dari India 21-17, 21-12 manakala Lydia Cheah Li Ya menewaskan seorang lagi pemain India Neha Pandit 21-18, 21-19.

Dalam acara beregu campuran, pasangan Malaysia Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menundukkan pasangan Singapura Wijaya Hendra/Sari Shinta Mulia 17-21, 21-16, 21-13. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut