suria

KBS Harap Kemelut BAM Selesai Sebelum Piala Thomas

PASIR MAS: Kementerian Belia dan Sukan berharap kemelut dalaman Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ekoran pemecatan Setiausaha Kehormatnya P. Ganga Rao dapat diselesaikan segera sebelum kejohanan Piala Thomas bermula bulan depan.

Menterinya Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata ini perlu bagi mengelakkan ia menjejaskan persiapan Malaysia yang akan menjadi tuan rumah piala berprestij itu.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu kemelut yang melanda BAM itu memberi kesan kepada kerajaan dalam penganjuran piala itu dalam tempoh tidak sampai sebulan.

"Masalah pemecatan P.Ganga itu saya kira masalah dalaman BAM, ia diharap tidak menjejaskan BAM dan skuad Piala Thomas...kita (Piala Thomas) tak sampai sebulan lagi," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi rumah atlet lumba basikal kebangsaan, Allahyarham Norfarahdini Zakaria, di Kampung Kubang Bemban, dekat sini, hari ini.

Allahyarham Norfarahdini, 27, maut dalam kemalangan ketika menjalani latihan bersama pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lambor Kiri, Bota, 6 April lepas.

Hadir sama Pengarah Kebajikan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Zaiton Othman. Ahmad Shabery turut menyertai majlis tahlil dan memberi sumbangan bagi pihak kerajaan kepada keluarga Allahyarham.

Ahmad Shabery berkata selain persiapan atlet, pihaknya juga memberi perhatian terhadap persiapan publisiti dan promosi penganjuran Piala Thomas itu.

"Saya tidak mahu dalam tempoh dua atau tiga minggu menjelang piala ini BAM masih dalam kekaburan dengan masalah dalaman dan jika berlaku tidak aman dalam kepimpinan, orang akan berfikir ia boleh menjejaskan harapan kita untuk mencapai kejayaan dalam piala berprestij itu, terutama apabila kita menjadi tuan rumah," katanya.

Beliau berkata kementeriannya sedang membuat pemantauan rapi terhadap perkembangan yang berlaku bukan saja dalam persatuan itu tetapi untuk menghadapi persiapan menjelang Piala Thomas itu.

Sehubungan itu, beliau berharap persatuan mesti turut memainkan peranan, khususnya dari segi promosi, persiapan kewangan, tempat, tiket dan hak penyiaran.

"Misalnya jika stadium tidak penuh dengan penonton, ia boleh menjejaskan kita sebagai tuan rumah untuk memberi sokongan moral kepada atlet kita, dan apa pula kata orang ramai terhadap kemampuan kita dalam memenangi kejohanan sukan berprestij ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

BAM Pecat Ganga Rao

Artikel Lain