suria

Sukan Johor Dijadikan Sukan Dwitahunan, Kata MB Johor

MUAR: Sukan Johor yang berlangsung semula di Stadium Sultan Ibrahim di sini sejak semalam hingga esok, selepas lima tahun tertangguh akan dijadikan sebagai temasya sukan dwitahunan dengan penekanan untuk mendapatkan penyertaan menyeluruh masyarakat di semua peringkat.

Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman ketika mengumumkan demikian berkata temasya sukan itu akan diselang-selikan dengan kejohanan Sukan Jawatankuasa Penyelarasan Dewan-Dewan Undangan Negeri Johor bagi menentukan kegiatan sukan berterusan dan mencungkil bakat yang boleh diketengahkan ke peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Kita berharap gabungan Sukan Johor yang dihadkan kepada atlet berusia di bawah 21 dengan mereka yang berusia lebih daripada had umur tersebut dalam Sukan Jawatankuasa Penyelarasan Dewan-Dewan Undangan Negeri Johor, maka penyertaan masyarakat terhadap sukan akan lebih menyeluruh.

"Di samping itu, kita juga akan dapat mencungkil bakat-bakat terpendam dari kampung, mukim dan daerah untuk diketengahkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sukan berkenaan, di sini, hari ini.

Sukan Johor mula diperkenal pada 2004. Lebih dari 1,000 orang atlet dari 10 daerah di negeri Johor mengambil bahagian dalam temasya Sukan Johor yang sekaligus buat pertama kali menggunakan Stadium Sultan Ibrahim yang baru dipulihkan selepas lebih 10 tahun terbiar.

Abdul Ghani memberitahu, dengan adanya dua kejohanan tersebut, ia akan menjadi gelanggang kepada para atlet untuk bersaing secara sihat.

Abdul Ghani juga berkata, kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan asas seperti peralatan kelengkapan yang lebih baik, pembinaan gelanggang sukan dan sebagainya yang diperlukan di semua peringkat.

"Kita akan meningkatkan pegawai sukan di peringkat tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai yang berkelayakan mengendalikan pertandingan di peringkat tempatan.

"Pada masa yang sama, kita juga akan membangunkan kemahiran teknikal kejurulatihan supaya mereka dapat membantu membangunkan sukan di semua peringkat," tambahnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

JADUAL LIGA PERDANA INGGERIS

Artikel Lain