suria

Pakistan dapatkan khidmat BAM latih pemain

NEW DELHI: Pakistan berusaha memperoleh bantuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membimbing pemain-pemain muda negara itu sebagai persedian menghadapi kejohanan antarabangsa.

Dalam satu temubual telefon dengan Bernama dari Lahore, Naib Presiden Kanan Persekutuan Badminton Pakistan (PFB) Syed Naqi Mohsin berkata perbincangan sedang diadakan dengan BAM untuk melantik seorang jurulatih dan sebuah akademi untuk melatih para pemain.

"Kami sedang melihat kepada dua perkara iaitu kami mahu jurulatih yang baik dan kami mahu menghantar pasukan lelaki dan wanita kami untuk berlatih di Malaysia (dengan sebuah akademi) selama dua bulan. Kami juga merujuk China dan Korea Selatan tetapi kami mendapat maklum balas positif dari Malaysia," katanya.

Pakistan sedang mengadakan persiapan bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan Persekutuan Asia Selatan di Dhaka pada Januari tahun depan, dan bertemu dengan jaguh badminton India.

Pakistan mencatat era kegemilangan badminton pada awal 70an apabila para pemainnya setanding dengan Jepun dan Korea Selatan, namun kecemerlangan itu telah menurun.

Bagi mengembalikan kegemilangan negara itu dalam sukan badminton, PBF menubuhkan Akademi Badminton Nasional (NBA) di Lahore bulan lepas untuk mengasahkan bakat pemain.

"Kami mempunyai jurulatih kami sendiri tetapi mereka tiada pengalaman latihan di negara lain. Mendapatkan jurulatih asing merupakan rancangan pembangunan jangka panjang yang akan dapat membantu para pemain dan juga jurulatih kami," kata Syed Naqi.

Awal minggu ini, PBF menamakan empat pemain pasukan bawah 19 tahun negara itu bagi menyertai Kejohanan Asia Bawah 19 Tahun di Kuala Lumpur, yang dijadualkan pada 12 hingga 19 Julai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cheng Chu sasar pingat emas

Artikel Lain