suria

Cheng Chu sasar pingat emas

KUALA LUMPUR: Pemanah Malaysia Cheng Chu Sian, yang pernah bersaing pada peringkat suku akhir Olimpik Beijing, berazam memenangi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada Grand Prix Asia Ketiga yang akan berlangsung di Pusat Memanah Kompleks Sukan Negara di Setiawangsa dari 7 hingga 12 Julai ini.

Cheng, penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata beliau tidak kesal kerana tidak menyertai Sukan Universiti Dunia atau Universiade di Belgrade, Serbia sekarang kerana dua kejohanan itu sama saja dan apa yang paling penting ialah mencapai kemenangan.

"Pada Asia GP kedua di Bangkok, Februari lepas, saya menang pingat perak. Kali ini, saya harap akan memenangi pingat emas kerana lebih bersedia berbanding sebelum ini," kata pemanah berusia 23 tahun itu kepada Bernama semasa menjalani latihan di Pusat Memanah Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil di sini hari ini.

Pemenang pingat emas pada Sukan SEA Korat ini berkata selain berazam memenangi pingat emas pada kejohanan berkenaan, beliau berharap dapat memperbaiki rekod kebangsaan 132.9 mata yang diciptanya.

Pemanah ini yakin akan memenangi pingat emas memandangkan Korea Selatan hanya menghantar sebuah pasukan syarikat, bukan pasukan kebangsaannya, ke kejohanan itu.

Kejohanan ini akan disertai sembilan negara iaitu Filipina, Indonesia, Arab Saudi, Thailand, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Malaysia.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan Lee JaeHyung berkata selain Cheng, pasukan wanita Malaysia juga mampu memenangi pingat emas pada kejohanan itu. Pemanah Lelaki: 1. Cheng Chu Sian 2. Wan Khamizam Wan Abdul Aziz 3. Zulkifli Tahil 4. Mohd Izzuddin Abdul Rahim 5. Mohd Nazrin Aizat 6. Ashah Kaharuddin Pemanah Wanita: 1. S. Anbarasi 2. Noor Aziera Taip 3. Nur Amirah Muhd 4. Beatrice Wong 5. Irza Hanie Abu Samah 6. Saritha Cham Nong BERNAMA

Artikel Lain