suria

Alwi Ahmad terus terima bantuan

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih lumba basikal kebangsaan, Alwi Ahmad yang kini terlantar akibat serangan angin ahmar terus menerima bantuan dari pelbagai pihak.

Beliau hari ini turut dikunjungi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di rumahnya di Kampung Datuk Keramat, di sini.

Sempena kunjungan itu, kementerian berkenaan melalui Institut Sukan Negara (ISN) menyampaikan sumbangan tilam ortopedik dan kusyen penahan tekanan kepada Alwi.

Ahmad Shabery berkata kementeriannya melalui ISN sentiasa prihatin terhadap kebajikan bekasbekas jaguh sukan negara dan sentiasa memantau perkembangan mereka serta memberikan bantuan keperluan yang diperlukan.

"Bagi meringankan beban keluarga Alwi, pihak ISN juga turut membekalkan bantuan susu khas yang diperlukan oleh beliau mengikut keperluan," katanya kepada pemberita. Sementara itu anak beliau, yang juga bekas pelumba basikal negara, Rosman berkata, beliau amat berterima kasih kepada ISN dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan kerana menghulurkan bantuan itu.

Alwi adalah lagenda lumba basikal negara dan pernah diletakkan sebaris bersama Abdul Latif Wahab, Mansor Sawi, Malik Selamat dan Kwa Chin Swee yang begitu menyerlah dalam arena lumba basikal era 1950an. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain