suria

Chong Wei, Hafiz mara ke pusingan kedua terbuka Indonesia

JAKARTA: Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim hari ini melepasi pusingan pertama kejohanan badminton Terbuka Indonesia.

Chong Wei, yang masih menduduki tangga pertama ranking dunia, mudah menewaskan Marc Zwiebler dari Jerman 21-17, 21-13 dalam masa 28 minit manakala Hafiz terpaks bekerja keras selama 48 minit untuk menundukkan pemain Denmark, Hans Kristian Vittinghus 21-15, 20-22, 21-16.

Kejayaan mereka bagaimanapun gagal diikuti oleh regu campuran Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Wong Pei Tty yang tersingkir di pusingan pertama setelah ditundukkan oleh pasangan tuan rumah, Hendra Aprida Gunawan/Vitta Marissa 21-19, 21-16.

"Saya ingin memberikan yang terbaik tetapi kami sering membuat kesalahan. Pada game kedua, kami ingin membuat pukulanpukulan mematikan tapi justeru mati sendiri," kata Fairuzizuan yang tahun lalu menjadi juara regu lelaki ketika berpasangan dengan Mohd Zakry Abdul Latif.

Tumpuan Malaysia kini ialah kepada regu campuran Koo Kien Keat/Ng Hui Lin yang akan melawan Diju Valiyaveetil/Jwala Gutta dari India manakala Mohd Razif Abdul Latif/Khei Wei Woon akan berdepan pasangan Thailand Shongpon Anugritayawon/Kuchala Voravichitchaikul petang ini. Regu wanita Malaysia Ng Hui Lin/Woon Khei Wei pula kalah kepada Anneke Feinya Agustine/ Annisa Wahyuni dari Indonesia 21-14, 21-15.

Pengurus pasukan Malaysia Abdul Hadi Abdul Kadir berharap dalam pusingan seterusnya, Chong Wei dapat mengatasi pemain tuan rumah, Simon Santoso manakala Muhammad Hafiz dijangka berdepan halangan besar ketika bertemu jaguh China, Lin Dan.

Juara bertahan acara regu lelaki, Mohd Fairuzizuan dan Mohd Zakry pula dijangka tidak akan menghadapi masalah ke separuh akhir untuk bertemu pilihan pertama, Markis Kido/ Hendra Setiawan dari Indonesia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain